Pendapat dan perkongsian blogger berkaitan isu-isu pendidikan dalam Matematik.
ULASAN INDIVIDU
ISU: PERKEMBANGAN
PENDIDIKAN MATEMATIK DI MALAYSIA
(SEKOLAH RENDAH)
NAMA : JULIANA
BINTI MOHD REDZUAN
NO. MATRIK : M20151000725
Pada
pendapat saya, perkembangan pendidikan Matematik di Malaysia sejajar dengan
perubahan semasa negara. Perkembangan pendidikan terutama dalam bidang
Matematik, banyak diberi tumpuan kerana kepentingan subjek ini dalam
masyarakat.
·
Tun Haji Abdul Razak Hussein adalah Bapa Pembangunan yang merupakan
pencetus utama kepada perubahan dan perkembangan pendidikan di Malaysia. Tanpa
cetusan idea daripada beliau, mungkin kurang atau tiada kesedaran dikalangan
masyarakat di Malaysia untuk fokus kepada pendidikan formal terutama bidang
Matematik.
·
Tanpa Laporan Razak, mungkin isu pendidikan
tidak dianggap penting dan ramai masyarakat yang akan kekal dengan pembelajaran
secara turun temurun dan secara berkelompok. Maka, pendidikan tidak selaras dan
tiada panduan kurikulum yang standard di seluruh Malaysia.
·
Permulaan Projek Imbuhan pada tahun 1975, sangat
membantu golongan kurang berkemampuan pada ketika itu untuk mendapat taraf
pendidikan yang sama dengan golongan kaya. Objektif Projek Imbuhan ini dapat
dilihat persamaan dengan kemudahan yang disediakan oleh sekolah kerajaan pada
masa kini, iaitu dengan memberi bantuan kewangan kepada golongan yang kurang
berkemampuan seperti masyarakat luar bandar dan pedalaman, serta masyarakat
orang asli. Ini terbukti dengan penyediaan banyak sekolah luar bandar dan
sekolah di kawasan pedalaman, dan turut disediakan kemudahan asrama untuk
pelajar, serta subsidi makanan kepada para pelajar miskin.
·
Perkembangan program daripada Projek Khas tahun
1970 sehingga KSSR kini, sentiasa ada penambahbaikan dari segi perancangan dan
objektif. Program yang sentiasa dinaiktaraf ini sangat perlu agar selari
mengikut perkembangan semasa.
·
Gaya pengajaran dan pembelajaran yang diterapkan
dalam KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah), juga sangat baik untuk panduan
para guru agar lebih kreatif dan boleh menarik minat para pelajar untuk
meminati subjek yang diajar. Fokus KSSR yang telah dibahagi kepada tahap I dan
tahap II juga sangat baik kerana memberi lebih peluang kepada pelajar untuk
memahami subjek terutama dalam bidang Matematik dengan cara yang lebih
berkesan.
·
Pada tahun 2016, pelajar sekolah rendah lepasan
UPSR akan mendapat beberapa sijil selain sijil akademik keputusan peperiksaan
UPSR. Saya menyokong pemberian sijil ini kerana kita dapat bezakan kualiti
seseorang pelajar itu. Jika mengikut kaedah yang dilaksanakan kini, hanya
penilaian berasaskan akademik sahaja yang dapat dinilai. Jika para pelajar
mendapat beberapa keping sijil seperti sijil akademik, sijil kurikulum, serta
sijil sahsiah diri, maka motivasi para pelajar akan lebih meningkat. Hal ini
kerana mereka akan berusaha untuk mendapat pencapaian yang lebih baik bukan
sahaja dari segi akademik, tetapi dari segi penglibatan aktiviti pelajar,
penampilan diri dan membentuk tingkahlaku yang baik.
ULASAN
INDIVIDU.
ISU:
FAKTOR YANG MENYEBABKAN BERLAKUNYA JURANG PENCAPAIAN MATEMATIK DI KALANGAN
MURID.
NAMA : JULIANA
BINTI MOHD REDZUAN
NO. MATRIK : M20151000725
Banyak
faktor yang menyebabkan berlakunya jurang pencapaian Matematik di kalangan pelajar.
Faktor ini bersifat kualitatif dan skop pencarian terlalu luas untuk dinilai.
·
Selalunya sekolah di
kawasan bandar, mendapat lebih banyak kemudahan daripada kawasan luar bandar.
Kawasan sekolah bandar mudah menjadi tumpuan untuk memperoleh kemudahan seperti
penggunaan talian internet untuk kegunaan teknologi maklumat, serta kemudahan
pelbagai jenis buku rujukan,dan buku latihan di sekolah. Pelajar di kawasan
bandar kebanyakannya hidup dalam ekonomi sederhana dan mewah. Maka mereka tidak
perlu bersusah payah seperti pelajar di kawasan luar bandar yang jarak
perjalanan dari rumah ke sekolah yang jauh,dan kurang pengangkutan awam. Hal
ini menyebabkan kesukaran kepada para pelajar untuk ke sekolah. Persiapan dan
perjalanan pelajar luar bandar untuk ke sekolah biasanya mengambil masa yang lebih
lama. Pelajar mudah penat sebelum tiba ke sekolah untuk meneruskan sesi
pembelajaran di sekolah. Oleh itu, mereka kurang fokus di dalam kelas.
·
Selain itu, gaya
pengajaran dan pembelajaran guru juga mempengaruhi pencapaian Matematik
pelajar. Kebanyakan guru lebih memberi tumpuan untuk menghabiskan topik yang
perlu diajar tanpa menitikberatkan kefahaman pelajar. Kaedah penyampaian subjek
Matematik kepada para pelajar adalah berbeza mengikut tahap kefahaman pelajar.
Maka, guru perlu lebih kreatif untuk menarik perhatian para pelajar meminati
subjek Matematik. Berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang pelajar di
sekolah dahulu, guru Matematik saya sendiri mengajar dan bercakap dengan papan
hitam, dengan suara yang sangat perlahan, dan sukar untuk saya memahami
maklumat apa yang cuba disampaikan.
·
Senarai sekolah
berprestij tinggi kebanyakannya terletak di kawasan bandar. Sekolah berprestasi
tinggi mempunyai persekitaran pembelajaran yang lebih baik dan memberi aura
positif kepada para pelajar. Dari segi psikologi, nama sekolah berprestasi
tinggi itu sendiri boleh memberi impak kepada minda para pelajar. Guru-guru
sekolah seperti ini akan lebih memberi tumpuan kepada prestasi pelajar agar
matlamat untuk menjadi sekolah cemerlang kekal setiap tahun. Tingkahlaku dan
gaya pemikiran pelajar sekolah prestasi tinggi ini lebih baik dan kurang
masalah disiplin seperti ponteng sekolah. Oleh itu, lebih mudah untuk mengawal
pelajar di sekolah prestasi tinggi ini bagi mengekalkan pencapaian yang lebih
baik dalam pelajaran terutama subjek Matematik.
ULASAN
INDIVIDU.
ISU:
BAHASA DALAM PENDIDIKAN
NAMA : JULIANA
BINTI MOHD REDZUAN
NO. MATRIK : M20151000725
Bahasa merupakan alat komunikasi
yang penting untuk menghantar, menerima atau penukaran maklumat, pendapat atau
idea dengan tulisan, pertuturan atau imej visual atau mana-mana kombinasi
ketiga-tiga unsur tersebut supaya bahan komunikasi difahami dengan jelas.
Peranan bahasa dalam Matematik melibatkan perwakilan konsep, maklumat dan
perkaitan seperti simbol, rumus, nombor, gambar rajah, bentuk dan graf ke dunia
sebenar dalam kehidupan seharian.
Isu bahasa merupakan perkara yang
menjadi keutamaan dalam bidang pendidikan Matematik. Bermula dengan pelaksanaan
PPSMI, dan kemudian dimansuhkan secara soft
landing untuk melaksanakan MBMMBI. Banyak masalah yang wujud dalam
pembelajaran Matematik dalam kalangan pelajar apabila PPSMI diperkenalkan.
Faktor penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam subjek
Matematik merupakan masalah utama pelaksanaannya, sehingga terpaksa
dimansuhkan. Hal ini kerana majoriti
pelajar kurang menguasai bahasa Inggeris itu sendiri.
Selain
itu, faktor keyakinan dalam diri pelajar itu menyebabkan pelajar kurang
motivasi untuk mempelajari subjek Matematik. Keyakinan,
kepercayaan yang bersungguh-sungguh atau kepastian adalah satu lagi aspek yang
tidak kurang penting dalam menghadapi proses pembelajaran kursus berkaitan
dengan Matematik dalam bahasa Inggeris. Ini sedikit sebanyak dapat menentukan
kejayaan dalam menguasai ilmu Matematik itu sendiri.
Walaubagaimanapun, pelaksanaan
penggunaan bahasa Inggeris untuk Matematik dengan sendirinya menyebabkan usaha
memodenkan bahasa Melayu melalui pengayaan istilah dalam subjek Matematik yang
sudah dilakukan puluhan tahun oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan ratusan ahli
ilmu tidak relevan lagi. Segala usaha yang melibatkan kewangan yang besar,
waktu dan tenaga pakar ilmu yang menjadi asset negara secara tiba-tiba menjadi
sia-sia belaka. Kekayaan khazanah ilmu yang sudah sedia ada dalam bahasa Melayu
yang dihasilkan dalam bentuk buku teks dan rujukan dengan kos yang bukan kecil
jumlahnya pun akan menjadi harta lupus dengan sendirinya apabila buku Matematik
dan Sains dalam bahasa Melayu tidak diperlukan lagi. Sebagai akibatnya, bahasa
Melayu akan menjadi bahasa yang kerdil apabila gersang khazanah ilmunya.
Penggunaan bahasa dalam pendidikan
Matematik ada kesan positif dan negatif. Jika pelaksanaan bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantar diteruskan dalam subjek Matematik, mungkin boleh
meningkatkan pengayaan bahasa antarabangsa itu dalam kalangan masyarakat.
Namun, jika kita lihat negara maju seperti Jepun, mereka menggunakan bahasa
ibunda sepenuhnya dalam pendidikan. Mereka tidak menggunakan bahasa Inggeris
yang merupakan bahasa antarabangsa. Negara Jepun semakin maju dan sukar
ditandingi dari segi pembangunan teknologi negara itu. Sekiranya ada pelajar
daripada negara lain hendak sambung belajar terutama dalam bidang teknologi dan
kejuruteraan, pelajar ini perlu mempelajari bahasa Jepun sebelum melanjutkan
pelajaran ke Jepun. Ini membuktikan bahawa bahasa ibunda yang mereka
pertahankan mampu membawa negara mereka maju dari pelbagai aspek termasuk
pendidikan.
Oleh itu, penggunaan bahasa ibunda
adalah yang terbaik untuk mempelajari apa jua bidang yang diceburi. Hal ini
telah dibuktikan apabila bahasa Melayu pernah menjadi bahasa lingua franca suatu ketika dahulu. Maka
tidak mustahil jika suatu masa nanti bahasa Malaysia boleh menjadi bahasa
antarabangsa pula.
ULASAN
INDIVIDU.
ISU:
PENDEKATAN PENGAJARAN (TEACHING APPROACH)
NAMA : JULIANA
BINTI MOHD REDZUAN
NO. MATRIK : M20151000725
Teori konstruktivisme adalah satu
pendekatan pengajaran berdasarkan penyelidikan tentang bagaimana manusia
belajar. Konsep konstruktivisme menyediakan peluang kepada pelajar untuk
membina kefahaman terhadap perkara yang dipelajari. Di samping menerangkan
bagaimana pengetahuan disusun di dalam minda pelajar, kaedah konstruktivisme
memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran Matematik.
Guru
adalah pengurus bilik darjah. Suasana bilik darjah yang menjalankan aktiviti
konstruktivisme adalah berpusatkan murid (student
centered). Kaedah konstruktivisme dilaksanakan dengan guru menggunakan
teknik penyoalan bukan untuk menguji kefahaman murid tetapi adalah untuk
menguji kemahiran murid dalam membina konsep. Amalan mengajar di sekolah
perlulah menjurus kepada usaha membolehkan murid berfikir dalam persekitaran
kehidupan. Proses ini menyeimbangkan peranan guru dan murid untuk berperanan
secara saling bergantung antara satu sama lain. Ciri–ciri pengajaran dan
pembelajaran konstruktivisme memberi penekanan kepada pengetahuan sedia ada
sehingga tercapai pemahaman baru. Fungsi pembelajaran seperti ini bersifat
penyesuaian dan bertanggungjawab untuk mengorganisasi dunia pengalaman dalam
diri murid.
Video pengajaran konstruktivisme
berkaitan topik purata yang berdurasi 33.55 minit itu menjelaskan bagaimana
konsep konstruktivisme dilaksanakan di sekolah rendah. Terdapat beberapa kesan
positif, namun banyak kelemahan yang ditampilkan dalam video tersebut. Kebaikan
kaedah konstruktivisme dalam video ini menunjukkan minat pelajar untuk
mengikuti aktiviti yang dijalankan oleh guru. Guru menggunakan bahan seperti
biskut, bekas dan pembilang yang biasa dilihat oleh pelajar. Walaubagaimanapun,
banyak kelemahan yang dapat dilihat menerusi video ini. Tanpa pengenalan lebih
lanjut tentang topik yang diperkenalkan kepada pelajar, guru terus kepada
aktiviti mengira bilangan bahan yang terdapat dalam bekas, dan meminta pelajar
susun atur mengikut arahan guru sahaja. Seharusnya guru menulis topik yang
dipelajari di papan hitam, menjelaskan hasil pembelajaran dan menyatakan
objektif topik tersebut. Tujuan pengenalan topik dan menulis di papan hitam
agar pelajar jelas tentang apa yang dipelajari pada waktu tersebut.
Selepas sesi pengenalan topik purata, guru tersebut
menjalankan aktiviti berkumpulan yang mana setiap kumpulan dibekalkan bahan
sebanyak 3 bekas. Pembahagian kumpulan yang besar agak kurang sesuai kerana
bilangan 8 orang dalam satu kumpulan akan menyebabkan hanya sebahagian pelajar
yang akan membuat aktiviti tersebut, manakala sebahagian pelajar lain hanya
sebagai pemerhati sahaja. Cadangan saya adalah lebih sesuai jika menghadkan 4
orang pelajar sahaja dalam satu kumpulan. Semasa aktiviti dalam kumpulan
dijalankan, guru hanya memberi arahan kepada pelajar tanpa menyatakan soalan
purata di kertas atau papan hitam. Hal ini menyebabkan pelajar cuma mengikut
arahan guru semata-mata tanpa mengetahui objektif tindakan tersebut dilakukan.
Pelajar tidak jelas soalan yang dinyatakan dan tidak mengetahui bentuk soalan
berkaitan purata. Kemudian, guru meminta pelajar menyebut rumus purata
beramai-ramai, tanpa menulis rumus purata di papan hitam. Pelajar hanya
menghafal dan mungkin akan lupa rumus purata selepas habis waktu kelas. Setiap
bahan atau rumus yang penting perlu ditulis agar peratus daya ingatan pelajar
lebih tinggi.
Selain itu, sesi kuiz dijalankan untuk menguji kefahaman
pelajar tentang topik purata. Guru memberi soalan, dan wakil ahli setiap
kumpulan perlu memberi jawapan dengan pantas. Hanya kumpulan yang menjawab
dengan betul dan pantas sahaja akan mendapat markah. Kaedah kuiz seperti ini
hanya memberi peluang kepada segelintir pelajar yang pandai sahaja. Cadangan
saya ialah guru tersebut perlu memberi peluang kepada setiap kumpulan untuk
memberikan jawapan. Satu soalan untuk satu ahli setiap kumpulan, agar semua
pelajar diberi peluang sama rata untuk belajar.
Kesimpulannya, kaedah yang diterapkan oleh guru dalam
video tersebut perlu diperbaiki agar objektif kaedah konstruktivisme tercapai.
Dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan, guru perlu memperbanyakkan contoh, dan
memberi penekanan terhadap cara mendapatkan rumus purata. Guru juga perlu
menampal atau mempamerkan soalan dan rumus purata di papan hitam.
ULASAN
INDIVIDU.
ISU:
STANDARD PENGAJARAN PROFESIONAL
(PROFESSIONAL
TEACHING STANDARD)
NAMA : JULIANA
BINTI MOHD REDZUAN
NO. MATRIK : M20151000725
Standard pengajaran profesional guru
berpandukan kepada Standard Guru Malaysia (SGM), menggariskan kompetensi
profesional yang dicapai oleh guru dan keperluan yang patut disediakan oleh
agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap
kompetensi yang ditetapkan. Dokumen ini disediakan sebagai panduan dan rujukan
kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan dalam usaha
untuk melahirkan dan melestarikan guru berkualiti. Dokumen ini akan disemak
semula secara berkala bagi tujuan penambahbaikan berterusan. Tujuan SGM digubal
untuk mengenal pasti tahap kompetensi profesional guru dalam aspek amalan nilai
profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran
dan pembelajaran. Selain itu, SGM bertujuan mengenal pasti tahap penyediaan dan
pelaksanaan keperluan latihan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi
menjamin tahap kompetensi guru yang ditetapkan tercapai.
Ciri-ciri
guru berkualiti perlu diterapkan untuk memastikan tugas setiap guru mencapai
tahap kompetensi yang ditetapkan. Guru perlu sentiasa mengamalkan nilai-nilai
keguruan dan etika profesional keguruan. Hal ini kerana guru bertindak sebagai
pengurus masa. Pengurus masa harus bijak mengawal masa terutama melibatkan masa
ke kelas. Keluasan kawasan sesebuah sekolah yang besar sudah pasti mempunyai
jarak kelas yang agak jauh dari bilik guru. Oleh itu, para guru perlu bergerak
lebih awal dari bilik guru agar tidak lewat masuk ke kelas. Ini penting kerana
disiplin masa menjadi contoh dan ikutan kepada para pelajar. Selain itu, guru
merupakan model di sekolah. Sehubungan itu, mereka perlu mempunyai keterampilan
yang menarik. Namun, perlu mengikut etika berpakaian yang formal dan
profesional. Guru wanita terutamanya, tidak perlu berhias berlebih-lebihan.
Cukup dengan solekan yang sederhana dan hiasan
aksesori yang ringkas. Apabila penampilan yang terlalu mewah, dan sarat
dengan aksesori tambahan, kemungkinan menimbulkan ketidakselesaan kepada guru
itu sendiri untuk mengajar, atau boleh menghilangkan tumpuan para pelajar. Para
pelajar yang terlalu asyik melihat penampilan guru yang berhias
berlebih-lebihan boleh menyebabkan mereka hilang fokus dalam kelas.
Di
samping itu, seorang guru seharusnya mahir mengintegrasi teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT). Dalam era moden kini, setiap guru perlu sentiasa
berpengetahuan dengan ilmu terkini agar lebih maju seiring dengan perkembangan
pelajar. Mereka tidak boleh berada di tahap lama dan perlu sentiasa
mempertingkatkan diri dengan teknologi semasa. Penggunaan ICT banyak
mempengaruhi konsep pengajaran dan pembelajaran dalam kelas agar lebih menarik.
Selain itu, guru juga perlu menguasai kemahiran komunikasi dan interpersonal. Kemahiran
komunikasi yang berkesan mampu memberi kesan yang positif terhadap diri
pelajar. Pelajar juga akan berasa lebih selesa untuk berkomunikasi dan berkongsi
sebarang isu dengan guru.
Perwatakan seorang guru juga
mempengaruhi perkembangan dan watak pelajar. Setiap guru harus menjaga
kesantunan diri walaupun dibebani dengan banyak masalah. Sekiranya guru
sentiasa berkasar dengan pelajar, akan menimbulkan rasa tidak hormat pada guru
dan kurangnya kepercayaan terhadap guru tersebut. Sikap guru yang sentiasa
ambil peduli keadaan persekitaran dan prestasi pelajar juga boleh membantu
meningkatkan pencapaian para pelajar. Guru yang prihatin dengan kehendak pelajar
dan ibu bapa merupakan tindakan yang sangat dipuji dan perlu dihargai. Hal ini
kerana guru mengambil berat dengan prestasi dan sikap pelajar ke arah lebih
baik.
Walau bagaimanapun, masih terdapat
segelintir guru yang menggunakan waktu bekerja untuk menjana pendapatan
sampingan seperti berniaga. Golongan seperti ini boleh menjejaskan reputasi dan
menimbulkan persepsi negatif terhadap profesion keguruan. Pada pandangan saya,
tidak menjadi kesalahan untuk berniaga dan menjana pendapatan sampingan, tetapi
bukanlah dilaksanakan pada waktu bekerja iaitu semasa sesi persekolahan. Jika
ingin berniaga, boleh dijalankan selepas waktu persekolahan dan pada hari cuti
agar tidak mengganggu fokus kerjaya sebagai seorang guru. Guru perlu lebih
cekap melaksanakan kurikulum persekolahan berbanding menjana perniagaan
sendiri.
Kesimpulannya, guru perlu sentiasa
menjaga kualiti keguruan berasaskan SGM. Di samping itu, guru perlu bijak
memperbaiki mutu akademik dan peribadi agar profesion keguruan dipandang tinggi
di mata masyarakat. Jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga.
Perumpaan ini perlu diambil iktibar oleh segelintir guru yang menjadikan
profesion keguruan hanya sekadar sandaran semata-mata kerana tiada pekerjaan. Tanggungjawab
seorang guru sangat besar kerana mereka yang mendidik pelajar menjadi seorang
pemimpin berguna di masa hadapan.
ULASAN
INDIVIDU.
ISU:
PENILAIAN BERASASKAN TEKNOLOGI
NAMA : JULIANA
BINTI MOHD REDZUAN
NO. MATRIK : M20151000725
Penilaian adalah satu
daripada beberapa aspek yang penting dalam sesuatu sistem pendidikan di
Malaysia ataupun di luar negara. Penilaian merujuk kepada pertimbangan yang
boleh dijustifikasikan mengikut matlamat yang ditetapkan, menghasilkan sama ada
pencapaian perbandingan atau berangka. Pencapaian yang baik dalam pendidikan
memerlukan seseorang itu mengukur dan menilai. Pengukuran perlu memberi ukuran
yang tepat supaya keputusan yang terbaik dapat diambil. Penilaian dijalankan ke
atas sesuatu program yang dilaksanakan dalam sesuatu institusi pendidikan.
Penilaian juga dijalankan ke atas pengajaran dan pembelajaran sama ada di
sekolah atau pun di institusi pengajian tinggi.
Proses penilaian adalah langkah yang
diperlukan untuk menguatkan pertimbangan. Dalam membuat pertimbangan, piawaian
dan matlamat perlu diketahui terlebih dahulu. Contohnya menilai tentang
pencapaian seseorang murid atau strategi pengajaran guru. Maklumat daripada
pengukuran akan membantu seseorang membuat pertimbangan yang sewajarnya.
Pertimbangan memerlukan maklumat yang diperolehi melalui pengukuran. Andaian
kita diberi sebatang pembaris untuk mengukur panjang dua batang pensil.
Tujuannya untuk menentukan pensil mana yang lebih panjang, kerana pensil yang
lebih panjang dapat digunakan lebih lama. Maka, kita telah melakukan pengukuran
sebelum melakukan penilaian. Andaian kedua pula, apabila kita berada pada
situasi untuk memilih sebiji buah durian yang baik. Untuk membuat penilaian,
kita perlu membuat perbandingan beberapa buah durian terlebih dahulu seperti
membandingkan bau, jenis tangkainya, dan jenis gred buahnya. Hal ini juga
melalui proses pengukuran, iaitu kita membandingkan beberapa biji durian yang
ada sekalipun tidak menggunakan alat ukur tetapi berdasarkan pengalaman. Oleh
itu, boleh dikatakan bahawa pengukuran
adalah kegiatan membandingkan sesuatu dengan ukuran tertentu dan bersifat
kuantitatif, manakala penilaian adalah kegiatan mengambil keputusan untuk
menentukan sesuatu berdasarkan kriteria baik buruk dan bersifat kualitatif.
Penilaian hendaklah dianggap sebagai
sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran (P & P), bukannya
semata-mata dijalankan melalui ujian dan peperiksaan sahaja. Ia merupakan satu
proses pengumpulan maklumat berkenaan dengan kemajuan dan prestasi pelajar.
Dengan itu, di peringkat sekolah berbagai-bagai kaedah penilaian digunakan
untuk mendapatkan maklumat tentang kemajuan dan pencapaian pelajar. Tujuan
penilaian adalah untuk mengetahui sejauh mana konsep-konsep yang disampaikan
itu difahami oleh pelajar. Setelah diumumkan gred atau markah yang diperoleh,
tahap pencapaian pelajar dalam satu-satu bidang pelajaran akan diketahui. Selain
guru, ibu bapa juga akan tahu aras pencapaian anak-anak mereka dalam mata
pelajaran yang berkenaan.
Penilaian berasaskan teknologi
merupakan strategi baru yang diperkenalkan. Penggunaannya masih belum
dilaksanakan secara meluas. Penilaian berasaskan teknologi yang sedia ada kini
adalah berbentuk permainan software di
lawan web. Penilaian menggunakan teknologi harus dikaji pelaksanaannya. Hal ini
kerana jika setiap mata pelajaran menggunakan penilaian berasaskan teknologi,
maka proses pembelajaran dan pengajaran secara tradisional tidak lagi boleh
digunakan. Setiap proses P&P harus dilakukan di makmal komputer bagi
memastikan semua pelajar mahir menggunakan perisian untuk menyelesaikan masalah
berkaitan P&P. Reka bentuk bilik darjah juga perlu diubah suai mengikut
kesesuaian proses P&P.
Walau bagaimanapun, banyak kelemahan
jika penilaian menggunakan teknologi dilaksanakan. Pelajar akan terlalu
bergantung kepada alat dan gajet untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Jika
alatan seperti laptop atau telefon bimbit canggih yang mengandungi perisian
tertentu tidak dibawa, maka pelajar tidak mampu menyelesaikan sesuatu masalah.
Contoh dalam subjek Matematik, jika pelajar terlalu bergantung kepada alat
elektronik untuk membuat pengiraan, akhirnya nanti pelajar itu sendiri tidak
mampu menghafal sifir dan tidak pandai mengira.
Pelbagai cara penilaian boleh
digunakan. Namun, jika masih ingin melaksanakan penilaian berasaskan teknologi,
boleh gabungkan penilaian formatif dan penilaian sumatif. Contohnya, penilaian
formatif sebanyak 60% dan penilaian sumatif yang melibatkan teknologi sebanyak
40%. Perkadaran itu boleh berubah mengikut keperluan mata pelajaran. Oleh itu,
para guru perlu bijak menentukan jenis penilaian untuk pelajar.
ULASAN
INDIVIDU.
ISU:
USAGE OF TECHNOLOGY
(VLE
FROG)
NAMA : JULIANA
BINTI MOHD REDZUAN
NO. MATRIK : M20151000725
Dalam
era globalisasi dengan penggunaan teknologi maklumat dan ilmu pengetahuan pada
masa kini, pendidikan di Malaysia berkembang pesat dan semakin menghampiri
sasaran negara iaitu Wawasan Negara 2020. Dalam aspek ini, teknologi maklumat
menjadi salah satu agen pemangkin yang mengorak langkah ke arah pembudayaan
Sains dan Teknologi bagi mewujudkan masyarakat yang berkebolehan dan
berkemampuan dalam bidang teknologi selaras dengan misi dan visi negara.
Kini teknologi pendidikan telah
berkembang dan mengalami pelbagai perubahan seiring dengan perubahan arus
semasa. Perubahan semakin rancak dengan penggunaan komputer dan internet secara
meluas dalam bidang pendidikan khasnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran
(p&p) dalam semua peringkat sistem pendidikan di negara ini. Istilah yang
paling sesuai untuk menggambarkan kemajuan teknologi maklumat dalam bidang
pendidikan hari ini ialah sebagai
teknologi maklumat yang sudah menjadi kepentingan dalam kurikulum.
Teknologi
maklumat dikatakan sebagai alat pemudah komunikasi apabila diguna untuk membolehkan
pelajar dan guru daripada lokasi yang berbeza menghantar , menerima
dan berkongsi maklumat yang berbagai bentuk. Kemajuan teknologi maklumat pada
hari ini membolehkan komunikasi dilakukan dalam pelbagai mod seperti teks,
grafik , audio , video atau kombinasi pelbagai mod.
Persekitaran
Pembelajaran Maya Frog (VLE) adalah satu sistem pembelajaran berasaskan web
yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar dengan mengintegrasikan konsep
pendidikan konvensional dengan kaedah maya. Sebagai contoh, guru-guru dapat
memberi tugasan, ujian dan menyemak tugasan secara maya, sementara pelajar
dapat menghantar tugasan dan menyemak markah menerusi VLE. Ibu bapa boleh
berkomunikasi dengan pihak sekolah manakala pentadbir sekolah boleh menguruskan
kalendar sekolah dan mewar-warkan notis sekolah melalui Internet.
Penggunaan
teknologi VLE Frog ini sangat bagus digunakan oleh semua pihak. Namun, masih
terdapat sedikit kelemahan yang harus diatasi jika penggunaannya secara meluas
ke seluruh negara. Capaian Internet yang sukar didapati di sekolah-sekolah luar
bandar akan menyebabkan pelajar di luar bandar ketinggalan dalam teknologi
kurikulum ini. Selain itu, pendedahan kepada semua guru, pelajar dan ibu bapa
perlu dipertingkatkan. Selain itu, apabila kelajuan Internet rendah, sistem
teknologi ini akan menyebabkan kesukaran untuk semua pihak akses menerusinya. Oleh
itu, satu strategi yang berkesan perlu dilaksanakan jika pelaksanaannya
digunakan secara meluas di semua sekolah.
No comments:
Post a Comment