KEPENTINGAN KOMUNIKASI
DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK
Proses
komunikasi antara guru dan pelajar merupakan salah satu aspek yang kritikal
dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Jalinan proses komunikasi ini
mewujudkan ruang interaksi yang membolehkan pembelajaran dilakukan secara
komprehensif. Aspek ini menjadi prasyarat dalam penyampaian ilmu yang berkesan.
Guru
matematik mestilah berupaya untuk berkomunikasi dengan pelajar secara jelas dan
tepat. Apabila berkomunikasi, guru akan membiasakan diri mereka kepada
pengajaran yang mengintegrasikan penggunaan kosa kata matematik dengan elemen
logik dalam Matematik. Integrasi dua perkara ini akan menghasilkan satu bahasa
yang unik yang dikenali sebagai bahasa Matematik.
Penggunaan
komunikasi Matematik sangat hangat diperkatakan dan merupakan isu penting dalam
arena pendidikan. Perdebatan turut berlaku dalam kalangan pendidik konservatif
dan golongan pendidik reformis. Melalui proses komunikasi, idea matematik
menjadi suatu objek yang boleh diuji relevennya dalam aplikasi, diperbincangkan
dan dibuat perubahan supaya idea tersebut boleh diterima menurut kelogikan dan
sebab akibatnya.
Apabila
para pelajar diminta untuk memikirkan penyelesaian kepada suatu masalah Matematik,
mereka akan menyampaikan hasil pemikiran dan jawapan mereka kepada kelas secara
lisan atau bertulis. Melalui proses ini, mereka sebenarnya belajar untuk
pemikiran dan idea mereka kepada guru dan rakan sekelas yang lain melalui
komunikasi. Apabila rakan lain yang mendengar penerangan rakan meraka, is
memberikan peluang kepada para pelajar untuk menilai secara kritikal idea yang
diketengahkan. Dalam mebincangkan idea dan konsep Matematik, interaksi antara
guru dengan pelajar, pelajar dengan pelajar di dalam kelas memainkan peranan
dalam meningkatkan pemahaman pelajar.
KEMAHIRAN BAHASA DAN
KOMUNIKASI DALAM MATEMATIK
Komunikasi tentang idea Matematik
dapat membantu pelajar menjelaskan dan memperkukuhkan pemahaman Matematik.
Aspek yang penting dalam komunikasi berkesan dalam Matematik adalah keupayaan
untuk memberikan penerangan efektif, memahami dan mengaplikasi notasi Matematik
dengan betul. Pelajar perlu menggunakan laras bahasa dan simbol Matematik
dengan betul bagi memastikan sesuati idea Matematik dapat dijelaskan dengan
tepat. Komunikasi secara Matematik juga melibatkan penggunaan pelbagai media
seperti carta, graf, manipulatif, kalkulator, computer dan lain-lain. Pelajar
seharusnya dapat menggunakan media yang berbeza tersebut bagi menjelaskan idea
Matematik dan menyelesaikan sesuatu masalah Matematik.
Bahasa Matematik yang digunakan
perlu secara umum dan dekat dengan persekitaran pelajar. Sekiranya bahasa yang
digunakan melibatkan persekitaran seperti situasi di lapangan terbang, hanya
pelajar yang pernah ada pengalaman ke lapangan terbang berupaya menjawab soalan
Matematik tersebut. Soalan yang dikemuakan perlua bersesuian dengan semua peringkat
pelajar di kawasan bandar dan luar bandar. Hal ini mempengaruhi gaya pemikiran
pelajar dan motivasi mereka. Bahasa Matematik perlu dipermudahkan agar pelajar
tidak keliru dan perlu lebih fokus dengan maklumat yang terperinci.
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI)
Perlaksanaan dasar Bahasa Inggeris
dalam mata pelajaran Sains dan Matematik telah dilaksanakan secara berperingkat
di semua sekolah di Malaysia sejajar dengan perkembangan pendidikan negara
menghadapi era globalisasi. Ia dikuatkuasakan pada tahun 2003 melibatkan
pelajar tahun 1, tingkatan 1 dan juga tingkatan 6 rendah. Langkah ini diambil
kerana kerajaan menyedari bahawa penguasaan ilmu Sains dan Matematik serta bahasa
Inggeris bertambah penting dalam era globalisasi dan teknologi maklumat.
Penggunaan yang kerap di sekolah sudah pasti akan membantu pelajar terutamanya
pelajar bumiputera memahirkan diri dalam penggunaan bahasa Inggeris. Cadangan
penggunaan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dibuat untuk
membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa itu di samping memantapkan
kefahaman kedua-dua mata pelajaran tersebut.
Menurut Cheong Yuen Keong (2010) ,
kajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dijalankan Isahak
Haron menunjukkan keputusan pencapaian yang dicapai pelajar amat rendah dalam
subjek Sains dan Matematik. Setelah lima tahun pelaksanaannya, ramai pelajar
berpendapat mereka masih sukar menggunakan bahasa Inggeris untuk mengikuti
pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Kenyataan ini disokong oleh
kajian yang dijalankan Johari Surif, Nor Hasniza Ibrahim dan Meor Ibrahim
Kamaruddin (2003). Hasil kajian mereka mendapati faktor bahasa pengantar dan
tahap penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris berada pada tahap yang kurang
memuaskan sekaligus menjadi permasalahan yang ketara dalam mempelajari
Matematik dalam Bahasa Inggeris di kalangan pelajar Tingkatan 2 sekolah luar
bandar. Hal ini menggambarkan bahawa sekalipun guru menggunakan strategi
pengajaran yang berkesan serta dilengkapi dengan infrastruktur dan persekitaran
yang baik tetapi ianya masih belum mencukupi untuk mengelakkan kewujudan
permasalahan apabila subjek Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.
Walaubagaimanapun, terdapat golongan
yang menyokong pelaksanaan dasar PPSMI. Kebanyakan mereka adalah golongan
peniaga, pengusaha, dan golongan yang bertutur dalam bahasa Inggeris. Mereka
menyokong dasar ini berlandaskan kedudukan istimewa bahasa Inggeris sebagai
bahasa antarabangsa. Tetapi agak sukar untuk golongan ini memahami impak buruk
yang dibawa PPSMI ke atas kanak-kanak yang menerima bahasa ibunda. Tidak kurang
juga media massa berbahasa Inggeris menyokong pelaksanaan dasar ini kerana akan
memperkembangkan dan memperkukuhkan penggunaan bahasa Inggeris di Malaysia.
Adalah jelas semua pihak mengakui penguasaan bahasa Inggeris yang berperanan
sebagai bahasa antarabangsa itu perlu diutamakan agar kita dapat menghadapi
cabaran globalisasi. Namun, kita tidak harus mengabaikan masalah yang dihadapi
kanak-kanak yang baru masuk ke sekolah rendah dan tidak berkeupayaan
menggunakan bahasa asing untuk menyerap ilmu Sains dan Matematik. Ini akan
menyusahkan mereka sehingga merasa kurang berminat terhadap Sains dan
Matematik. Sementara itu, Sains dan Matematik yang lebih mengutamakan istilah
teknikal itu tidak sesuai digunakan untuk meninggikan mutu bahasa Inggeris.
MEMARTABATKAN BAHASA
MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)
Strategi
memartabatkan bahasa Malaysia melibatkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai
bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan dan menengah serta
penambahbaikan terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran (p&p) bahasa
Malaysia. Manakala strategi memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris melibatkan
penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris serta penyediaan guru dan bahan yang
mencukupi dan berkualiti bagi melaksanakan kurikulum tersebut.
Tujuan
utama memartabatkan bahasa Malaysia adalah kerana bahasa Malaysia merupakan
bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan
bahasa ilmu kea rah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia. Tuuan
utama memperkukuh bahasa Inggeris adalah kerana bahasa Inggeris merupakan
bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan
bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional
dan global.
Rasional
pelaksanaan MBMMBI menggantikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik
dalam bahasa Inggeris kerana keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah
Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) memperlihatkan pencapaian murid dalam bahasa Malaysia adalah jauh lebih
tinggi dariapda bahasa Inggeris sama ada bagi pelajar di kawasana bandar dan
luar bandar. Keputusan menunjukkan, pelajar akan lebih mudah mengikuti
pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Malaysia berbanding bahasa Inggeris.
Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran
Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.
Di
samping itu, dapatan UNESCO menunjukkan pelajar lebih mudah mempelajari
pelajaran dalam bahasa ibunda pada peringkat awal persekolahan. Profisisensi
bahasa Inggeris guru pada tahap cemerlang dan baik adalah sekitar 25%. Hanya
sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran
dan pembelajaran Sains dan Matematik. Ini menyukarkan proses pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan. Secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris
adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi
mata pelajaran Sains dan Matematik. Penggunaan bahasa Inggeris oleh guru dalam
kelas adalah sekitar 55%. Tambahan pula, laporan Trends in Mathematics Science Study (TIMSS) 2007 menunjukkan
pencapaian murid Malaysia merosot dari tempat ke 10 pada tahun 2003 ke 20 bagi
subjek Matematik. Kajian pelbagai pihak
menunjukkan kebanyakan murid khususnya daripada luar bandar sukar untuk memahami
pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Selain
itu, tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar terutamanya di luar bandar masih
rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dalam
bahasa Inggeris.
PEMANSUHAN PPSMI SECARA SOFT LANDING
Bagi menyediakan mekanisme soft landing pelaksanaan pengajaran dan
pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia, kedua-dua mata
pelajaran tersebut diajar dalam dwibahasa mulai tahun 2010 di sekolah rendah
dan sekolah menengah. Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi
Tahun 4 pada tahun 2012-2015, Tahun 5 pada tahun 2013-2015 dan Tahun 6 pada
tahun 2014-2016 dilaksanakan dalam dwibahasa. Sehubungan itu, peperiksaan Sains
dan Matematik UPSR akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga tahun 2016.
Manakala pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi Tingkatan 4 pada
tahun 2012-2014, dan Tingkatan 5 pada tahun 2013-2015 dilaksanakan dalam
dwibahasa. Peperiksaan Sains dan Matematik SPM akan terus dilaksanakan dalam
dwibahasa sehingga tahun 2015.
RUJUKAN
Cheong Yuen Keong 2010. Impak Pengajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris ke tas Pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina: Jurnal
Terjemahan Alam & Tamadun Melayu 1:2
Kursus Pemantapan Pedagogi
Matematik Sekolah Rendah di Bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan
Memperkukuh Bahasa Inggeris. (2013) Bahagian
Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sabri Ahmad, Tenku Zawawi Tengku Zainal, Aziz Omar (2006). Isu-isu Dalam Pendidikan Matematik. Siri
Pengajian dan Pendidikan Utusan.
Johari Surif, Nor Hasniza Ibrahim dan Meor Ibrahim Kamaruddin (2003) . Masalah Pembelajaran Matematik Dalam Bahasa Inggeris
di Kalangan Pelajar Tingkatan 2 Luar Bandar. Universiti
Teknologi Malaysia
Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris. Kementerian Pelajaran Malaysia
No comments:
Post a Comment