Saturday, 31 October 2015

ISU: AKSES DAN EKUITI DALAM PENDIDIKAN



PENGENALAN KEPADA AKSES DAN EKUITI DALAM PENDIDIKAN
            Komitmen kerajaan Malaysia untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia sangat tinggi. Hasilnya, sistem pendidikan mengalami perkembangan pesat sejak 5 dekad yang lalu. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai kejayaan telah berjaya diukir. Pencapaian yang boleh dibanggakan adalah kadar literasi warga dewasa mencapai 92%, kadar enrolmen pendidikan menghampiri enrolmen peringkat universal bagi sekolah rendah (92%), sekolah menengah rendah (85%) dan sekolah menengah atas (78%), dan Malaysia juga telah menang Anugerah Commonwealth bagi Amalan Terbaik Pendidikan.
            Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP). Program ini merupakan usaha kerajaan membawa perubahan dalam sistem penyampaiannya. Sehubungan itu, bidang keberhasilan utama negara (NKRA) Pendidikan telah menjadi salah satu teras dalam GTP yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 28 Januari 2010. Dua fokus utama NKRA Pendidikan adalah memastikan semua kanak-kanak mendapat permulaan pendidikan berkualiti, dan membangunkan budaya pencapaian untuk memacu transformasi dalam sistem pendidikan. Tujuan NKRA Pendidikan diperkenalkan adalah untuk meningkatkan standard pendidikan Malaysia ke peringkat antarabangsa, serta memastikan semua pelajar mendapat akses yang sama kepada pendidikan berkualiti tanpa dipengaruhi oleh pendapatan keluarga.
            Usaha kerajaan Malaysia untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara tidak terbatas kepada pengenalan NKRA Pendidikan semata-mata. Pelbagai langkah lain diambil seperti memperkenalkan PERMATA dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Pelan yang bersifat komprehensif dan demokratik kerana dirangka setelah mengambil pandangan daripada pakar pendidikan di dalam dan di luar negara. Terdapat 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang diingini oleh seluruh rakyat Malaysia. Salah satu anjakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
           
AKSES DAN EKUITI MERUPAKAN ASPIRASI SISTEM PENDIDIKAN MALAYSIA
            Kementerian Pelajaran berhasrat menghasilkan suatu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan. Keberhasilan yang ditetapkan ini adalah selari dengan aspirasi yang turut disuarakan oleh peserta semasa Dialog Nasional dan setanding juga dengan keberhasilan yang ditetapkan oleh sistem pendidikan berprestasi tinggi yang lain. Bagi memenuhi keperluan semua rakyat Malaysia dan menyediakan negara untuk bersaing di peringkat antarabangsa, adalah penting untuk negara melakarkan wawasan kejayaan sistem pendidikan yang ingin dibangunkan, khusus berdasarkan konteks di Malaysia.
            Akses dan ekuiti merupakan dua aspirasi sistem dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Menurut Laporan Awal - Ringkasan Eksekutif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Kementerian Pelajaran Malaysia (2012), menyatakan maksud akses dan ekuiti secara terperinci. Akses adalah setiap kanak-kanak di Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Kementerian berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang tahun 2020. Manakala ekuiti adalah sistem pendidikan berprestasi tinggi menyediakan pendidikan berkualiti kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi, jantina atau latar belakang sosioekonomi. Kementerian berhasrat untuk merapatkan lagi jurang pencapaian antara murid bandar dan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara jantina sehingga 50% menjelang 2020.
 
MATLAMAT DAN PENDEKATAN MENYEDIAKAN KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA
            Sejak dahulu lagi, murid di Malaysia berkebolehan menguasai ilmu apabila mereka berupaya menganalisa maklumat, berfikir secara kritis, mengaplikasi ilmu secara kreatif dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah ciri-ciri kemahiran berfikir aras tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di negara-negara maju. Walaubagaimanapun, kemahiran ini kurang kritikal dalam ekonomi yang sentiasa berubah pada masa ini. Sebaliknya, murid perlu ada keupayaan penaakulan, membuat unjuran dan mengaplikasi pengetahuan secara kreatif dalam suasana yang berlainan. Murid juga memerlukan ciri-ciri kepimpinan untuk bersaing di peringkat global. Pentaksiran antarabangsa Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS), dan Programme International Student Assessment (PISA) menunjukkan murid di Malaysia sukar mengaplikasi kemahiran berfikir aras tinggi. Menurut Laporan Awal - Ringkasan Eksekutif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Kementerian Pelajaran Malaysia (2012), kajian tinjauan ke atas syarikat Malaysia dan syarikat antarabangsa juga melaporkan bahawa murid Malaysia gagal menguasai kemahiran insaniah yang diperlukan oleh bakal majikan.
            Selain itu, pendidikan sering dilihat sebagai pengupaya mobaliti sosial. Kanak-kanak yang dilahirkan dalam keluarga miskin berpeluang memperoleh pendapatan yang tinggi apabila dewasa, sekiranya mereka berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Walaubagaimanapun, selagi status sosioekonomi kekal sebagai penentu kejayaan akademik dan merupakan faktor utama yang mewujudkan jurang pencapaian murid, hasrat Kementerian untuk menukarkan mobaliti sosial dalam kalangan murid miskin sukar dicapai.
STRATEGI MENYEDIAKAN KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA
            Strategi pertama adalah dengan menanda aras keupayaan dalam kemahiran membaca, Matematik dan Sains dengan standard antarabangsa. Setiap murid akan dapat menguasai dengan baik kemahiran literasi dan numerasi, iaitu kemahiran asas untuk pembelajaran di masa hadapan. Murid akan diajar mengikut kurikulum yang digubal berdasarkan standard sistem pendidikan yang berprestasi tinggi dan tanda aras ini perlu disahkan oleh badan bebas untuk meyakinkan ibubapa. Kementerian juga akan menetap dan memantau sasaran pencapaian murid dalam pentaksiran antarabangsa PISA dan TIMSS. Pentaksiran tambahan yang menangani dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia boleh dimasukkan apabila diterima di peringkat antarabangsa.
            Selain itu, Kementerian melancarkan Kurikulum Standard Seklah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kurikulum sekolah rendah dan menengah perlu disemak untuk mengimbangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah, dan kepimpinan. Kurikulum ini mempelbagaikan pengajaran, di samping turut memberi lebih penekanan pada penyelesaian masalah, tugasan berasaskan projek, memperkemaskan mata pelajaran atau tema dan melaksanakan pentaksiran formatif. Kurikulum baharu akan menyokong dan mempercepatkan laluan pembelajaran untuk murid yang berprstasi tinggi menamatkan SPM dalam tempoh empat tahun dan bukan lima tahun, dan UPSR diduduki pada Tahun 5.
            Selanjutnya, peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan akan dirombak untuk meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu. Sebagai contoh mnjelang tahun 2016, peperiksaan UPSR akan mengandungi 80 peratus soalan berbentuk pemikiran aras tinggi. Hal ini ditambah lagi dengan tempoh pendidikan wajib juga akan dilanjutkan daripada 6 tahun sekarang kepada 11 tahun, dengan disokong oleh pelbagai inisiatif untuk mengekalkan murid dalam sistem pendidikan, termasuk memperluaskan laluan pendidikan dan latihan teknik dan vokasional. Menjelang tahun 2020, setiap murid akan meninggalkan alam persekolahan dengan kelayakan minimum SPM atau kelayakan vokasional yang setara. Murid akan diberi pilihan mengikuti pelbagai laluan pendidikan berdasarkan minat dan keupayaan mereka.Pilihan ini termasuk aliran teknik dan vokasional yang diperluaskan, yang menawarkan kelayakan diiktiraf industri, dan peluang latihan industri menerusi kerjasama rapat dengan sektor swasta.
            Di samping itu, setiap murid berumur 5 tahun ke atas akan mendaftar di institusi pendidikan prasekolah yang dikendalikan oleh pihak awam dan swasta. Keluarga yang berpendapatan rendah dan tidak mampu mendaftar anak mereka ke prasekolah akan diberikn bantuan kewangan berdasarkan keperluan oleh Kementerian. Institusi prasekolah ini akan diperiksa secara tetap oleh Kementerian atau Majlis Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-kanak Malaysia bagi memastikan standard minimum dicapai. Murid yang mempunyai risiko tercicir akan dibantu menerusi pelbagai inisiatif bagi mengekalkan mereka dalam sistem pendidikan, merangkumi bimbingan pemulihan kaunseling untuk ibu bapa dan murid dan pelbagai inisiatif lain.
            Seterusnya untuk menjamin akses pendidikan berkualiti dan bertaraf antarabangsa kepada semua murid, kerajaan akan meningkatkan pelaburan bagi sumber fizikal dan pengajaran kepada murid dengan keperluan khusus. Murid orang Asli dan kumpulan minority, dan murid kurang upaya fizika dan pembelajaran akan menerima bantuan tambahan supaya mereka juga menikmati peluang yang sama seperti murid lain. Menjelang tahun 2025, mereka akan memasuki sekolah yang mempunyai kemudahan dan peralatan lengkap bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan membantu. Mereka akan diajar oleh guru yang telah diberi latihan khas untuk memahami keperluan dan cabaran khusus murid, dan strategi pengajaran yang diperlukan, untuk mengajar murid yang mempunyai keperluan khusus. Jika perlu, murid ini juga akan diberikan sokongan melalui perluasan jaringan dengan kaunselor, ahli terapi dan pembantu guru.

KESIMPULAN
            Dalam meluaskan akses, peluang dan laluan ke pendidikan perlu disertai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira jantina, umur, etnik, bagi golongan miskin di bandar dan luar bandar, orang Asli dan orang kurang upaya (OKU). Individu boleh mengikuti pendidikan pada setiap peringkat daripada prasekolah sehingga ke peringkat menengah atas mengikut kelayakan dan minat masing-masing melalui pelbagai mod pembelajaran. Ekuiti boleh ditingkatkan melalui meritrokasi kepelbagaian dan agihan bantuan kewangan yang seimbang untuk semua pelajar supaya mereka tidak tersisih dari arus perdana pendidikan.


RUJUKAN

Laporan Awal - Ringkasan Eksekutif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. (2012) Kementerian Pelajaran Malaysia

http://smkaspc.blogspot.my/2014/07/pelan-pembangunan-pendidikan-malaysia.html

http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120913/re_01/Menganjakpendidikan-negara
(13/09/2012)









Saturday, 24 October 2015

BAHASA DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK



KEPENTINGAN KOMUNIKASI DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK
            Proses komunikasi antara guru dan pelajar merupakan salah satu aspek yang kritikal dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Jalinan proses komunikasi ini mewujudkan ruang interaksi yang membolehkan pembelajaran dilakukan secara komprehensif. Aspek ini menjadi prasyarat dalam penyampaian ilmu yang berkesan.
            Guru matematik mestilah berupaya untuk berkomunikasi dengan pelajar secara jelas dan tepat. Apabila berkomunikasi, guru akan membiasakan diri mereka kepada pengajaran yang mengintegrasikan penggunaan kosa kata matematik dengan elemen logik dalam Matematik. Integrasi dua perkara ini akan menghasilkan satu bahasa yang unik yang dikenali sebagai bahasa Matematik.
            Penggunaan komunikasi Matematik sangat hangat diperkatakan dan merupakan isu penting dalam arena pendidikan. Perdebatan turut berlaku dalam kalangan pendidik konservatif dan golongan pendidik reformis. Melalui proses komunikasi, idea matematik menjadi suatu objek yang boleh diuji relevennya dalam aplikasi, diperbincangkan dan dibuat perubahan supaya idea tersebut boleh diterima menurut kelogikan dan sebab akibatnya.
            Apabila para pelajar diminta untuk memikirkan penyelesaian kepada suatu masalah Matematik, mereka akan menyampaikan hasil pemikiran dan jawapan mereka kepada kelas secara lisan atau bertulis. Melalui proses ini, mereka sebenarnya belajar untuk pemikiran dan idea mereka kepada guru dan rakan sekelas yang lain melalui komunikasi. Apabila rakan lain yang mendengar penerangan rakan meraka, is memberikan peluang kepada para pelajar untuk menilai secara kritikal idea yang diketengahkan. Dalam mebincangkan idea dan konsep Matematik, interaksi antara guru dengan pelajar, pelajar dengan pelajar di dalam kelas memainkan peranan dalam meningkatkan pemahaman pelajar.
           


KEMAHIRAN BAHASA DAN KOMUNIKASI DALAM MATEMATIK
            Komunikasi tentang idea Matematik dapat membantu pelajar menjelaskan dan memperkukuhkan pemahaman Matematik. Aspek yang penting dalam komunikasi berkesan dalam Matematik adalah keupayaan untuk memberikan penerangan efektif, memahami dan mengaplikasi notasi Matematik dengan betul. Pelajar perlu menggunakan laras bahasa dan simbol Matematik dengan betul bagi memastikan sesuati idea Matematik dapat dijelaskan dengan tepat. Komunikasi secara Matematik juga melibatkan penggunaan pelbagai media seperti carta, graf, manipulatif, kalkulator, computer dan lain-lain. Pelajar seharusnya dapat menggunakan media yang berbeza tersebut bagi menjelaskan idea Matematik dan menyelesaikan sesuatu masalah Matematik.
            Bahasa Matematik yang digunakan perlu secara umum dan dekat dengan persekitaran pelajar. Sekiranya bahasa yang digunakan melibatkan persekitaran seperti situasi di lapangan terbang, hanya pelajar yang pernah ada pengalaman ke lapangan terbang berupaya menjawab soalan Matematik tersebut. Soalan yang dikemuakan perlua bersesuian dengan semua peringkat pelajar di kawasan bandar dan luar bandar. Hal ini mempengaruhi gaya pemikiran pelajar dan motivasi mereka. Bahasa Matematik perlu dipermudahkan agar pelajar tidak keliru dan perlu lebih fokus dengan maklumat yang terperinci.

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI)
            Perlaksanaan dasar Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik telah dilaksanakan secara berperingkat di semua sekolah di Malaysia sejajar dengan perkembangan pendidikan negara menghadapi era globalisasi. Ia dikuatkuasakan pada tahun 2003 melibatkan pelajar tahun 1, tingkatan 1 dan juga tingkatan 6 rendah. Langkah ini diambil kerana kerajaan menyedari bahawa penguasaan ilmu Sains dan Matematik serta bahasa Inggeris bertambah penting dalam era globalisasi dan teknologi maklumat. Penggunaan yang kerap di sekolah sudah pasti akan membantu pelajar terutamanya pelajar bumiputera memahirkan diri dalam penggunaan bahasa Inggeris. Cadangan penggunaan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dibuat untuk membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa itu di samping memantapkan kefahaman kedua-dua mata pelajaran tersebut.
            Menurut Cheong Yuen Keong (2010) , kajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dijalankan Isahak Haron menunjukkan keputusan pencapaian yang dicapai pelajar amat rendah dalam subjek Sains dan Matematik. Setelah lima tahun pelaksanaannya, ramai pelajar berpendapat mereka masih sukar menggunakan bahasa Inggeris untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Kenyataan ini disokong oleh kajian yang dijalankan Johari Surif, Nor Hasniza Ibrahim dan Meor Ibrahim Kamaruddin (2003). Hasil kajian mereka mendapati faktor bahasa pengantar dan tahap penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris berada pada tahap yang kurang memuaskan sekaligus menjadi permasalahan yang ketara dalam mempelajari Matematik dalam Bahasa Inggeris di kalangan pelajar Tingkatan 2 sekolah luar bandar. Hal ini menggambarkan bahawa sekalipun guru menggunakan strategi pengajaran yang berkesan serta dilengkapi dengan infrastruktur dan persekitaran yang baik tetapi ianya masih belum mencukupi untuk mengelakkan kewujudan permasalahan apabila subjek Matematik diajar dalam bahasa Inggeris.
            Walaubagaimanapun, terdapat golongan yang menyokong pelaksanaan dasar PPSMI. Kebanyakan mereka adalah golongan peniaga, pengusaha, dan golongan yang bertutur dalam bahasa Inggeris. Mereka menyokong dasar ini berlandaskan kedudukan istimewa bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. Tetapi agak sukar untuk golongan ini memahami impak buruk yang dibawa PPSMI ke atas kanak-kanak yang menerima bahasa ibunda. Tidak kurang juga media massa berbahasa Inggeris menyokong pelaksanaan dasar ini kerana akan memperkembangkan dan memperkukuhkan penggunaan bahasa Inggeris di Malaysia.
            Adalah jelas semua pihak mengakui penguasaan bahasa Inggeris yang berperanan sebagai bahasa antarabangsa itu perlu diutamakan agar kita dapat menghadapi cabaran globalisasi. Namun, kita tidak harus mengabaikan masalah yang dihadapi kanak-kanak yang baru masuk ke sekolah rendah dan tidak berkeupayaan menggunakan bahasa asing untuk menyerap ilmu Sains dan Matematik. Ini akan menyusahkan mereka sehingga merasa kurang berminat terhadap Sains dan Matematik. Sementara itu, Sains dan Matematik yang lebih mengutamakan istilah teknikal itu tidak sesuai digunakan untuk meninggikan mutu bahasa Inggeris.


MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUH BAHASA INGGERIS (MBMMBI)
            Strategi memartabatkan bahasa Malaysia melibatkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan dan menengah serta penambahbaikan terhadap pendekatan pengajaran dan pembelajaran (p&p) bahasa Malaysia. Manakala strategi memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris melibatkan penambahbaikan kurikulum bahasa Inggeris serta penyediaan guru dan bahan yang mencukupi dan berkualiti bagi melaksanakan kurikulum tersebut.
            Tujuan utama memartabatkan bahasa Malaysia adalah kerana bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu kea rah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia. Tuuan utama memperkukuh bahasa Inggeris adalah kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.
            Rasional pelaksanaan MBMMBI menggantikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kerana keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperlihatkan pencapaian murid dalam bahasa Malaysia adalah jauh lebih tinggi dariapda bahasa Inggeris sama ada bagi pelajar di kawasana bandar dan luar bandar. Keputusan menunjukkan, pelajar akan lebih mudah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Malaysia berbanding bahasa Inggeris. Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.
            Di samping itu, dapatan UNESCO menunjukkan pelajar lebih mudah mempelajari pelajaran dalam bahasa ibunda pada peringkat awal persekolahan. Profisisensi bahasa Inggeris guru pada tahap cemerlang dan baik adalah sekitar 25%. Hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Ini menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Secara purata peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Penggunaan bahasa Inggeris oleh guru dalam kelas adalah sekitar 55%. Tambahan pula, laporan Trends in Mathematics Science Study (TIMSS) 2007 menunjukkan pencapaian murid Malaysia merosot dari tempat ke 10 pada tahun 2003 ke 20 bagi subjek Matematik.  Kajian pelbagai pihak menunjukkan kebanyakan murid khususnya daripada luar bandar sukar untuk memahami pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Selain itu, tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dalam bahasa Inggeris.

PEMANSUHAN PPSMI SECARA SOFT LANDING
            Bagi menyediakan mekanisme soft landing pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia, kedua-dua mata pelajaran tersebut diajar dalam dwibahasa mulai tahun 2010 di sekolah rendah dan sekolah menengah. Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi Tahun 4 pada tahun 2012-2015, Tahun 5 pada tahun 2013-2015 dan Tahun 6 pada tahun 2014-2016 dilaksanakan dalam dwibahasa. Sehubungan itu, peperiksaan Sains dan Matematik UPSR akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga tahun 2016. Manakala pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bagi Tingkatan 4 pada tahun 2012-2014, dan Tingkatan 5 pada tahun 2013-2015 dilaksanakan dalam dwibahasa. Peperiksaan Sains dan Matematik SPM akan terus dilaksanakan dalam dwibahasa sehingga tahun 2015.








RUJUKAN

Cheong Yuen Keong 2010. Impak Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ke tas Pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina: Jurnal Terjemahan Alam & Tamadun Melayu 1:2

Kursus Pemantapan Pedagogi Matematik Sekolah Rendah di Bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris. (2013) Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sabri Ahmad, Tenku Zawawi Tengku Zainal, Aziz Omar (2006). Isu-isu Dalam Pendidikan Matematik. Siri Pengajian dan Pendidikan Utusan.

Johari Surif, Nor Hasniza Ibrahim dan Meor Ibrahim Kamaruddin (2003) . Masalah Pembelajaran Matematik Dalam Bahasa Inggeris di Kalangan Pelajar Tingkatan 2 Luar Bandar. Universiti Teknologi Malaysia

Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris. Kementerian Pelajaran Malaysia