Model Standard Guru Malaysia (SGM) adalah suatu standard yang dapat menjadi penanda aras bagi para guru dan bakal guru di Malaysia dalam melahirkan guru yang berkualiti. Pelancaran buku SGM telah dilaksanakan pada 16 Mei 2009 bersempena Hari Guru peringkat kebangsaan. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak turut memberikan jawapan terhadap persoalan para guru mengenai Model Standard Guru Malaysia (SGM) ini semasa beliau merasmikan pelancaran buku SGM tersebut. Beliau berkata: “Bagi guru yang sering bertanya mengenai „berkualiti‟, apa standard yang mereka perlu ada, maka
Standard Guru Malaysia adalah petunjuknya.Walaupun pembikinan SGM berasaskan negara luar namun penanda arasnya dibangunkan dalam konteks dan budaya serta amalan nilai-nilai masyarakat
negara ini.”
(Utusan Malaysia, 14 Mei 2009)
Standard Pengajaran Profesional merupakan satu rujukan utama bagi bidang tugas seorang guru di mana dokumen ini menerangkan tentang apa yang guru boleh lakukan serta menyediakan hala tuju dan struktur untuk menyokong penyediaan dan pembangunan guru (NSW Institute of Teachers, 2005). Di Malaysia, Standard Guru Malaysia (SGM) dijadikan sebagai panduan oleh para guru, agensi dan institusi latihan perguruan, pensyarah serta guru besar dan pengetua sekolah. SGM meliputi standard dan keperluan di mana kedua-dua aspek ini dilaksana berasaskan Misi Nasional, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Tatasusila Profesion Keguruan dan Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia bagi melahirkan guru unggul yang dapat membentuk modal insan kelas pertama.Standard Guru Malaysia (SGM) menggariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru, dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan. Dokumen ini disediakan sebagai panduan dan rujukan kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan dalam usaha untuk melahirkan dan melestarikan guru berkualiti. Dokumen ini akan disemak semula secara berkala bagi tujuan penambahbaikan berterusan.
2.0 Standard Guru Malaysia (SGM)
2.1 Rasional
Standard Guru Malaysia ini digubal berdasarkan rasional yang berikut:
1. Guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan.
2. Agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan keperluan yang jelas dan lengkap seperti dasar, kurikulum, infrastruktur, tenaga pengajar, sumber pengajaran dan pembelajaran,serta jaminan kualiti untuk membolehkan proses latihan dijalankan dengan lancar, berkesan danbermutu tinggi.
3. KPM sedang berusaha untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan guru yang dapat dijadikan showcase. Justeru itu, adalah wajar standard bagi institusi latihan perguruan diwujudkan.
4. Standard Guru Malaysia menggariskan kriteria dan standard am guru selaras dengan Malaysian Qualifications Framework (MQF) yang menggariskan kriteria dan standard am pendidikan tinggi.
2.2 Tujuan
Standard Guru Malaysia digubal bagi tujuan yang berikut:
1. mengenal pasti tahap kompetensi profesional guru dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.
2. mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan latihan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi menjamin tahap kompetensi guru yang ditetapkan tercapai.
3. Standard Guru Malaysia akan dapat mengenal pasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang patut ditambahbaik sejajar dengan perkembangan dan cabaran semasa dunia pendidikan.
2.3 Prinsip dan proses penggubalan
Penggubalan SGM adalah berasaskan kepada prinsip dan proses yang berikut:
1. Pernyataan Standard dan Keperluan jelas, tepat, relevan, praktikal, adil, dan realistik.
2. Standard dan Keperluan yang dicadangkan adalah berasaskan kajian serta penandaarasan.
3. Proses penggubalan dilaksanakan secara kolaboratif, telus, terbuka dan persetujuan bersama
dengan pihak- pihak berkepentingan.
2.4 Penggunaan
Standard Guru Malaysia adalah dokumen rujukan yang patut diguna pakai oleh pihak yang berikut:
2.4.1 Guru
1. Membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard. 2.Mengenal pasti keperluan
pembangunan profesionalisme diri.
2.4.2 Pendidik Guru di Institusi Latihan Perguruan
1. Membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard.
2. Mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri.
3. Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih (guru praperkhidmatan) atau
peserta kursus (guru dalam perkhidmatan).
4. Mengenal pasti strategi bagi membantu guru pelatih atau peserta kursus meningkatkan tahap pencapaian standard.
2.4.3 Pengurus dan Pentadbir Institusi Latihan Perguruan
1. Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih dan peserta kursus.
2.Mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan latihan oleh institusi.
3.Mengenal pasti strategi bagi meningkatkan tahap pencapaian standard dan keperluan.
2.4.5 Guru Besar dan Pengetua Sekolah
1. Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru.
2. Menyediakan dan melaksanakan strategi bagi meningkatkan tahap pencapaian standard oleh
guru.
2.4.6 Agensi Latihan Perguruan
1. Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih dan peserta kursus di institusi latihan perguruan.
2. Mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan oleh agensi dan institusi latihan perguruan.
3. Mengenal pasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang boleh ditambahbaik. Standard Guru Malaysia juga digubal berdasarkan rujukan dan penandaarasan standard pendidikan di Malaysia dan standard pendidikan guru di beberapa negara maju. Standard Guru Malaysia mempunyai dua komponen utama yang saling berkait iaitu Standard (S) dan Keperluan (K)
Rajah 1 : Komponen Standard Guru Malaysia
Walaupun dengan kewujudan SGM, masih terdapat isu-isu berkaitan Standard Pengajaran Profesional ini yang meniti di dada-dada akhbar malah dalam kalangan pendidik sendiri.Ternyata mengaplikasi SGM sahaja tidak cukup untuk menghasilkan guru yang berkualiti kerana pada diri pendidik itu sendiri masih terdapat perkara yang menghalang mereka untuk mencapai tahap profesional. Beberapa isu berkaitan dengan Standard Pengajaran Profesional yang akan dikupas adalah seperti berikut:
3.0 Isu etika guru
3.1 Penampilan guru
Isu penampilan guru sudah timbul sejak berlakunya peningkatan di dalam profesionalisme keguruan. Berdasarkan Stewart (2005), beliau mendefinisikan penampilan sebagai tret-tret perwatakan dan personaliti yang dianggap perlu untuk kejayaan sebagai seorang guru. Berdasakan kajian-kajian lepas menunjukkan sikap, nilai, dan kepercayaan guru tentang pelajar membawa kesan kepada pembelajaran dan perkembangan pelajar (Collinson et. Al.,1999). Penampilan yang ditunjukkan atau dihasilkan oleh guru membolehkan murid menjadikannya contoh dan ikutan.
Etika pakaian guru menjadi fokus di dalam isu penampilan guru ini. Ini adalah kerana pelajar menilai guru secara nyata dan apa yang mereka nampak. Nilai tanggungjawab, kepimpinan dan lain-lain nilai yang melibatkan dalaman seorang guru tidak dapat dilihat oleh murid malah ia memerlukan masa untuk seseorang mengenali nilai dalaman seseorang. Howard (2007)telah huraikan 4 ciri utama yang merangkumi penampilan guru serta sahsiah yang secara signifikannya dapat menghasilkan hasil pembelajaran yang lebih baik.
Penampilan untuk perbezaan adalah ciri pertama yang dinyatakan di mana sebagai seorang guru, kita perlulah
mempunyai tahap keterampilan berasaskan budaya. Guru perlulah sentiasa mencari penyelesaian yang tidak memihak kepada satu pihak sahaja. Yang kedua ialah penampilan untuk berdialog.Pakaian adalah salah satu cara berdialog tanpa suara yang ditunjukkan oleh guru. Pakaian yang kemas dan teratur menjadikan orang disekeliling lebih yakin untuk berbincang dan berdialog.
Ketiga ialah disilusi di mana guru hendaklah mengawal emosi kekecewaan di sekolah. Jika guru berasa kecewa pada hari tersebut, guru hendaklah lebih bersikap profesional dan jangan menunjukkan perasaan kecewa itu dengan pakaian yang kusut dan tidak teratur. Yang terakhir ialah demokrasi di mana guru tersebut bersikap lebih terbuka dan memberi peluang melibatkan diri di dalam perkembangan diri masing-masing sama ada perkembangan guru ataupun murid. Etika penampilan guru dipengaruhi oleh tiga faktor iaitu pendidikan, persekitaran dan pengalaman. Faktor pendidikan merupakan faktor lebih memfokuskan pendidikan awal yang diterima oleh seseorang guru. jika pendidikan pendidikan yang berterusan diberikan oleh keluarga, maka pembentukan sikap juga terbina kesan daripada pendidikan tersebut. Kebiasaannya guru yang terdidik dalam keluarga yang mementingkan penampilan sahsiah diri turut akan menonjolkan penampilan diri dalam amalan kehidupan dan perkhidmatan yang mereka ceburi. Penampilan diri yang disebabkan oleh faktor persekitaran amat luas skopnya termasuklah keluarga, kebudayaan, pengaruh sekolah, media massa, pengalaman dan masyarakat.
Walaubagaimanapun, persekitaran yang baik dan harmonis boleh mempengaruhi sikap yang positif dan sebaliknya. Ini bermaksud bahawa guru boleh menunjukkan penampilan diri mereka yang lebih baik, jika mereka bijak membawa diri dalam suasana dalam persekitaran yang ada. Guru seharusnya mempunyai jati diri agar mereka tidak terpengaruh dengan penampilan negatif yang ditunjukkan oleh persekitaran mereka.
Faktor pengalaman juga memberikan kesan kepada penampilan seseorang guru. pengalaman hidup dan kerja seseorang guru juga, dapat mempengaruhi sikapnya samaada kearah yang lebih postif atau negatif. Seseorang guru yang mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perguruan tentunya lebih memahami dan mudah beradaptasi dengan mana-mana sekolah di mana dia ditugaskan berbanding dengan guru yang masih lagi “mentah” di dalam bidang ini. Oleh yang demikian kita boleh lihat bahawa guru yang sudah berpengalaman lebih menonjolkan penampilan diri mereka berbanding guru permulaan yang baru ditempatkan di sekolah.
3.2 Kerja sambilan
Kerja sambilan bermaksud kerja yang dibuat secara sambilan di samping kerja biasa atau kerja tetap yang lain. Ia merupakan usaha yang bertujuan untuk menghasilkan sesuatu sama ada untuk menambahkan pendapatan atau sebagai satu hobi di masa senggang. Golongan guru juga tidak terkecuali menjalankan kerja sambilan ini, ada di antaranya mengajar kelas tambahan di pusat tuisyen, menjadi jurujual produk barangan tertentu, menyertai syarikat jualan langsung, menjadi agen insurans dan sebagainya.Apabila guru mempunyai kerja sambilan, banyak perkara yang tidak sihat atau nilai buruk akan berlaku seperti ia boleh menjejaskan prestasi kerja dan kredebiliti guru tersebut kerana ia kurang dapat memberi tumpuan terhadap bidang tugas yang diamanahkan.Ini adalah kerana kerja sambilan tersebut mungkin menuntut masa senggangnya melakukan aktiviti tersebut. Guru yang melakukan kerja sambilan terpaksa menumpukan dua bidang dalam satu masa. Dimana bagi dirinya kedua-dua bidang itu sama-sama penting padahal tugas utama yang telah diamanahkan kepadanya ialah mengajar.Apabila seseorang guru mempunyai pekerjaan lain selain tugas yang diamanahkankepadanya ia telah melanggar Kod Etika Perguruan. Ini adalah kerana Kod Etika Perguruan menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab guru sebagai pemegang amanah dalam bidang pendidikan. Apabila guru menjalankan tugas lain di samping profesion perguruannya, ia akan melibatkan kesan yang kurang baik terhadap diri sendiri, pelajar, rakan sejawat serta ibu bapa pelajar dan masyarakat setempat.
Pada zaman ini, pusat tuisyen tumbuh bak cendawan selepas hujan. Kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen kerana memikirkan prestasi anak mereka yang semakin merosot. Kini, pusat tuisyen seolah-olah menjadi trend dan ada juga yang ingin mengaut keuntungan semata-mata. Jika dahulu, pusat tuisyen berfungsi sebagai sumber tambahan dan kelas persediaan sebelum ke kelas, kini pusat tuisyen berperanan sebagai sekolah. Hal ini menyebabkan guru kurang memberi tumpuan mengajar di sekolah dan sebaliknya lebih mementingkan kerjanya sebagai guru tuisyen di pusat tuisyen berbayar. Komitmen pemikiran, masa dan tenaga lebih terarah kepada kerja luar, ada guru yang mengabaikan tugasan hakiki iaitu pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Akibatnya guru-guru ini secara fizikalnya akan menjadi letih dan tiada masa untuk membuat persediaan pengajaran.
3.3 Mematuhi masa instruksional
Dewasa ini sering menjadi bualan tentang masalah yang melibatkan sahsiah guru yang kian hari semakin menggugat kredibiliti profesion perguruan Malaysia. Melihat kepada masalah penyelewengan masa dalam kalangan guru di sekolah ini ianya melibatkan pelbagai bentuk kesalahan yang dilakukan oleh guru yang tidak bertanggungjawab ini. Sebagai contoh yang paling hampir masalah guru yang lewat hadir ke kelas.
Masalah ini tidak boleh dipandang ringan kerana perkara ini terkandung dalam etika pengurusan masa yang terkandung dalam Pekeliling berkaitan Etika Profesion Perguruan (Pembangunan Sahsiah, 2011:209). Kod etika ini merangkumkan perkara yang perlu dipatuhi oleh guru seperti waktu hadir ke sekolah, waktu hadir ke kelas serta mengajar ikut jadual waktu yang ditetapkan. Semua ini termasuk dalam pengurusan masa dan ketetapan masa yang telah termaktub dalam Etika Profesion Perguruan. Masalah penyelewengan waktu dalam kalangan guru sering dapat dilihat melalui kelewatan guru masuk ke kelas, kelewatan guru datang ke sekolah dan sebagainya.
Berdasarkan kajian sebelum ini, masalah berkaitan penggunaan masa guru ini sering dikaitkan dengan penggunaan masa guru ke arah aktiviti yang tidak berfaedah terutamanya semasa berada dalam kawasan sekolah. Sebagai contoh dapat dilihat guru-guru yang bermasalah ini menggunakan masa pengajaran dan pembelajaran yang sepatutnya mereka berada di dalam kelas tetapi digunakan untuk bersembang serta bergosip tentang perkara yang tidak sepatutnya menjadi bualan di sekolah. Sedangkan sesi pengajaran dan pembelajaran dibiarkan habis begitu sahaja. Dapat dilihat bahawa sahsiah yang dimiliki guru ini mencemarkan profesion perguruan yang sentiasa dipandang tinggi di mata masyarakat.
Dalam Pembangunan Sahsiah ada menyatakan bahawa seorang guru yang profesional harus mempunyai tiga aspek penting dalam dirinya iaitu kepakaran, pengetahuan dan pembentukan sahsiah (Robiah,1998). Kenyataan ini jelas menegaskan bahawa guru sebagai role model kepada muridnya perlu membetulkan sahsiah terlebih dahulu. Sebagai contoh seorang guru haruslah menunjukkan sikap menepati masa kepada muridnya bukan sebagai seorang yang tidak menepati masa. Ini kerana perkembangan pelajar adalah melalui pemerhatian keadaan sekeliling yang dijadikan ikutan oleh pelajar itu dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
3.4 Pengurusan kewangan
Menyedari masih ramai masyarakat di negara kita yang masih tercicir dan tidak berkemampuan untuk mendapat peluang pendidikan, pihak KPM telah menunjukkan keprihatinannya dengan menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin kepada murid yang berkelayakan. Objektif penubuhan tabung KWAPM ini adalah untuk membantu golongan ibu bapa dan murid yang berpendapatan rendah yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak mereka ke sekolah. Tujuan pihak KPM menubuhkan tabung KWAPM ini juga adalah untuk mengurangkan jurang peluang pendidikan di anatara bandar dan luar bandar.
Walau bagaimanapun, setelah pihak KPM melaksanakan tabung ini, timbul pula isu yang semakin hangat diperkatakan dari hari ke hari iatu guru KWAPM menyeleweng duit yang sepatutnya diberikan kepada murid. Malah ada pula isu yang menjadi bertambah rumit apabila wang yang sepatutnya menjadi kegunaan untuk murid membeli barang peralatan di sekolah telah disalahgunakan oleh ibu bapa. Kenapakah isu ini masih boleh timbul sedangkan setiap guru KWAPM telah dipertanggungjawabkan tugasnya dan senarai nama murid yang layak telahdisenaraikan?
Pengurusan kewangan merupakan satu aspek yang penting di sekolah. Aspek pengurusan kewangan merupakan satu tugas penting yang perlu dikendalikan dengan sistematik dan berkesan. Di sekolah, Guru Besar bertanggungjawab sepenuhnya untuk menentukan aspek kewangan dijalankan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. Guru Besar juga untuk memastikan bahawa tidak ada sebarang penyelewengan berlaku di dalam pentadbiran kewangan sesebuah sekolah. Pengurusan kewangan dapat dilaksanakan dengan sistematik adalah bergantung kepada kemahiran, kepimpinan dan sikap Guru Besar sesebuah sekolah itu sendiri.
Namun, tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada Guru Besar pula telah menjadi satu masalah besar kepada pengurusan kewangan sekolah apabila telah dilaporkan bahawa terdapat kes penyelewengan dan penyalahgunaan wang yang berlaku berpunca daripada Guru Besar itu sendiri. Hal ini umpama ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara, terdapat penyelewengan dalam mengagihkan bantuan Kumpulan Wang Amanah Saham Pelajar Miskin (KWAPM) di mana dilaporkan lapan kes kehilangan dan penyelewengan wang berjumlah RM 196,550 telah dilaporkan
dari tahun 2004 hingga 2008. Dua kes melibatkan penyalahgunaan wang oleh guru besar, tiga kes kehilangan wang oleh guru besar, dua kes kegagalan guru besar menyerahkan wang dan satu kes aduan penyelewengan kewangan oleh guru besar. Isu penyelewengan dan penyalahgunaan wang di sekolah telah memberi kesan
negatif kepada profesion perguruan. Tugas sebagai seorang guru dianggap mulia. Guru menjadi ‘role model’ kepada murid dan masyarakat. Sekiranya guru sendiri mencemarkan profesion perguruan sudah tentu profesion ini akan dipandang rendah oleh masyarakat. Masyarakat akan mempertikai kredibiliti dan akauntabiliti seorang guru.
4.0 Penutup
Standard Guru Malaysia menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang. Diharapkan Standard Guru Malaysia akan dapat memastikan guru yang dihasilkan mempunyai kompetensi yang tinggi dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.
5.0 Rujukan
Howard, G. R. (2007), 'Dispositions for Good Teaching', Journal of
Educational Controversy. Diakses daripada http://www.wce.wwu.edu/Resources/CEP/
journal/v002n002/a009.shtml.
Professional Teaching Standard (2005). Diakses daripada http://www.nswteachers.nsw.edu.au/
Main-Professional-Teaching-Standards/
Stewart, P. & Davis, S. (2005), 'Developing Dispositions of Preservice Teachers Through
Membership in Professional Organizations’ Journal of Authentic Learning, Vol.2(l)
Utusan Malaysia. 14 Mei 2009. Komitmen Guru Tingkatkan Sisitem Pendidikan.
11