PERKEMBANGAN KURIKULUM MATEMATIK DI
MALAYSIA.
Kronologi
perkembangan pendidikan Matematik di Malaysia terbahagi kepada 2 peringkat,
iaitu sebelum tahun 1980, dan selepas tahun 1980.
PERKEMBANGAN PENDIDIKAN MATEMATIK SEKOLAH
RENDAH DI MALAYSIA SEBELUM TAHUN 1980
Sebelum
Perang Dunia Ke-2, silibus Matematik di Semenanjung Malaysia adalah tidak
selaras. Pada ketika itu, setiap sekolah bebas menggunakan sebarang buku
rujukan. Topik yang diajar juga tidak khusus dan tiada standard iaitu
bergantung kepada keperluan yang dirasakan bersesuaian untuk sesi pembelajaran.
Kurikulum Matematik
berubah menjadi standard dan rasmi selepas tahun 1956 dengan tercetusnya
Laporan Razak, yang menyatakan perlu ada silibus umum untuk semua sekolah
kerajaan. Maka, perancangan silibus Matematik untuk sekolah rendah dibuat dan
dilaksanakan selepas tahun 1956. Walaubagaimanapun, terdapat hanya sedikit
perubahan topik pada kurikulum yang rasmi itu. Perubahan besar hanya berlaku
selepas pelaksanaan Projek Khas pada 1970.
Tujuan
Laporan Razak.
PROJEK KHAS (1970)
Projek Khas Kementerian
Pelajaran Malaysia bermula pada 1968 diterajui oleh Menteri Pelajaran Malaysia,
En. Abu Hassan Ali. Objektif Projek Khas ini adalah untuk memperbaiki mutu
pendidikan matematik dan sains supaya selaras dengan perkembangan matematik
moden di negara-negara maju.
Projek Khas dibiayai
oleh Yayasan Asia dan beberapa ahli American
Peace Corps dilantik sebagai penasihat projek. Bahan-bahan pengajaran dan
pembelajaran direka cipta oleh sekumpulan pensyarah dan guru yang terlatih di
luar negara. Selain itu, strategi serta kaedah berpusatkan guru diperkenalkan.
Kaedah inkuiri-penemuan juga digalakkan. Namun, hanya terdapat sedikit
perubahan kandungan matematik sekolah rendah pada Projek Khas ini.
Kajian rintis bagi
Projek Khas ini dilancarkan pada 1970. Sebanyak 30 buah sekolah sekitar Kuala
Lumpur digunakan bagi tujuan ini. Program ini telah diubahsuai dan
diperkenalkan ke semua sekolah rendah dari masa ke semasa sehingga ianya
digantikan dengan Matematik KBSR.
PROJEK IMBUHAN
Projek
Imbuhan telah dilaksanakan selepas Perang Dunia yang kedua untuk menangani
keadaan ketidakadilan peluang pendidikan di antara golongan kaya dan miskin.
Pada ketika ini, wujud jurang yang amat ketara kerana taraf sosio ekonomi yang
berbeza. Golongan kaya mendapat pendidikan yang sempurna manakala golongan
miskin terus dipinggirkan untuk belajar. Maka, Projek Imbuhan dijalankan untuk
membela nasib kanak-kanak dari keluarga yang berpendapatan rendah.
Projek
Imbuhan ini telah dilancarkan dan dilaksanakan dari tahun 1975 sehingga tahun
1980. Melalui projek ini, segala peruntukan khas dalam bentuk bantuan telah
dihulurkan kepada semua ibubapa dan pelajar sekolah rendah dan pra-sekolah yang
kurang berkemampuan. Ini termasuklah pemberian subsidi makanan, bantuan
kewangan dan kemudahan-kemudahan lain. Bagi menjayakan program ini, projek ini
telah disokong oleh sumber-sumber seperti bahan pembelajaran khas dan guru-guru
yang dilatih khusus menjalankan projek ini. Skema pembelajaran juga
direkabentuk mengikut perkembangan kognitif murid-murid. Projek ini
menitikberatkan bidang pedagogi (pendidikan pemulihan) dan elemen-elemen sosio-ekonomi
dan politik.
PROJEK InSPIRE
Idea untuk menubuhkan Projek
InSPIRE bermula dalam tahun 1977.
Langkah ini diterajui oleh Universiti Sains Malaysia sebagai satu
projek pendidikan. Objektif utama projek ini ialah untuk mencari kaedah yang
berkesan bagi menjalankan program pemulihan dan pengayaan matematik di sekolah-
sekolah rendah di luar bandar. Pelbagai set bahan- bahan untuk aktiviti pemulihan dan pengayaan matematik telah
dibina dan dihantar ke sekolah- sekolah untuk diuji. Di samping itu, objektif
kedua projek ini ialah membantu Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian
Pelajaran Malaysia melaksanakan program pemulihan dan pengayaan dalam KBSR.
Projek InSPIRE ini telah dilancarkan secara rasmi pada tahun 1983
Objektif utama Projek InSPIRE adalah untuk mengembangkan
dan mempertingkatkan lagi sistem pengajaran yang dapat memperbaiki mutu proses
pengajaran-pembelajaran di sekolah rendah luar Bandar di Malaysia. ‘InSPIRE’
adalah nama ringkas dari ‘Integrated System of Programmed Instruction for the
Rural Environment’, yang bermaksud ‘Sistem Paduan Pengajaran Terancang untuk
Luar Bandar’.
Sejak penubuhannya, Projek InSPIRE terkenal dengan
bahan-bahan pengajaran-pembelajaran yang dihasilkan. Berikutan dengan itu, ia telah menerima tawaran untuk
menjalankan pelbagai projek penyelidikan dan perundingan bagi meningkatkan
kecemerlangan pendidikan di peringkat nasional. Antaranya ialah Projek
KBSR-Program Pemulihan Pengkayaan (1993-1997), Projek InSPIRE Sabah Fasa III
(1990 -1994). Projek InSPIRE juga telah dilantik oleh beberapa agensi
antarabangsa untuk menjalankan kajian-kajian penyelidikan dan penilaian secara
komisyen. Di antara agensi-agensi tersebut termasuklah UNESCO, Van Leer
Foundation, IDRC, SEARRAG, Commonwealth Secretariat dan Bank Dunia.
Sekali lagi Yayasan Sabah telah memberi kepercayaan
kepada PPIP untuk melaksanakan Projek InSPIRE (II) dengan jumlah pembiayaan
sebanyak RM 2.5 juta bagi tempoh (2007-2012) bagi membantu mengatasi masalah
prestasi murid di kawasan luar bandar dalam peperiksaan berpusat yang jauh
ketinggalan berbanding dengan sekolah dalam kawasan bandar merupakan perkara
yang mendapat perhatian setiap pihak yang berkepentingan sejak sekian lama.
Projek InSPIRE II
telah mengenal pasti empat mata pelajaran utama sebagai fokus, iaitu :
i.
Sains
ii.
Matematik
iii.
Bahasa
Malaysia
iv.
Bahasa
Inggeris
KURIKULUM BARU
SEKOLAH RENDAH (KBSR)
KBSR
dilaksanakan pada tahun 1983 berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai
sebahagian daripada pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan (1979). Perubahan
kurikulum ini adalah sebahagian daripada reformasi Kurikulum Pendidikan Negara.
Melaluinya, kurikulum matematik telah mengalami perubahan yang besar daripada
Kurikulum Matematik Moden.
Perubahan
utama ialah mengurangkan kandungan(content)
matematik supaya menjadi lebih sesuai dengan kebolehan murid. Sukatan
pelajaran dibahagi kepada dua; Aras I
dan Aras II. Aras I (Tahun 1 – Tahun 3) mementingkan penguasaan terhadap
konsep-konsep asas penomboran serta pelaksanaan empat operasi asas matematik
(+, -, ÷ dan x). Aras II (Tahun 4 – Tahun 6) pula mementingkan aplikasi
kemahiran operasi asas serta penyelesaian masalah matematik.
Kurikulum
ini bertujuan untuk menyediakan peluang yang sama bagi semua murid untuk
memperoleh pengetahuan, kemahiran, sikap, peraturan serta amalan sosial
masyarakat yang baik. Matematik KBSR ini bertujuan untuk mengembangkan
kemahiran mengira di kalangan murid. Mereka perlu juga menguasai
kemahiran-kemahiran asas matematik.
KURIKULUM
BERSEPADU SEKOLAH RENDAH (KBSR)
Matlamat KBSR
Matlamat pendidikan sekolah
rendah adalah untuk memastikan perkembangan potensi murid secara menyeluruh,
seimbang dan bersepadu. Perkembangan
ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani bagi melahirkan
insan yang seimbang,harmonis dan berakhlak mulia.
Objektif KBSR
Bagi mencapai matlamat tersebut,
pendidikan di peringkat rendah bertujuan untuk membolehkan murid:
- Mengetahui dan memahami konsep, definisi, peraturan dan prinsip-prinsip berkaitan nombor, operasi, ruang, ukuran dan perwakilan data.
- Menguasai operasi asas matematik :
·
Penambahan
·
Penolakan
·
Pendaraban
·
Pembahagian
- Menguasai kemahiran dalam operasi bergabung.
- Menguasai kemahiran asas matematik iaitu :
·
Membuat
anggaran dan pembundaran
·
Pengukuran
·
Perwakilan data
·
Mentafsir
maklumat dalam bentuk graf dan carta
- Menggunakan kemahiran Matematik dan pengetahuan untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan harian secara efektif dan bertanggungjawab ;
- Menggunakan bahasa Matematik dengan betul ;
- Menggunakan teknologi yang sesuai dalam pembinaan konsep, memperolehi kemahiran Matematik dan penyelesaian masalah ;
- Mengaplikasikan pengetahuan Matematik secara bersistematik, heuristik, tepat dan berhati-hati ;
- Mengambil bahagian dalam aktiviti berkaitan Matematik ; dan
- Menghargai kepentingan dan keindahan Matematik.
KURIKULUM
STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)
KSSR merupakan satu transformasi pendidikan, iaitu proses melakukan satu bentuk
perubahan yang holistik kepada kurikulum persekolahan sedia ada yang melibatkan
perubahan bentuk, organisasi, kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah
pentaksiran, bahan dan pengurusan kurikulum di sekolah.
KSSR mula dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2011. Menurut
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, KSSR tidak
menggantikan tetapi seiringan dengan KBSR.
KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras,
Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif. Modul Asas
Teras merangkumi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan
Islam, Pendidikan Moral, Matematik, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan
Kesihatan. Modul Asas Tema pula terdiri daripada Dunia Sains dan Teknologi,
Malaysia Negaraku serta Seni Visual dan Muzik. Modul Asas Elektif pula pilihan
bahasa seperti Bahasa Tamil, Bahasa Cina atau Bahasa Arab.
Tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3) akan tertumpu kepada penguasaan 4M
(membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi
komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal,
kognitif, sikap dan nilai. Sementara tahap dua sekolah rendah (tahun 4 hingga
6) akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT,
perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.
Matlamat KSSR
Matlamat Kurikulum
Standard Sekolah Rendah bagi mata pelajaran Matematik adalah untuk membina
pemahaman murid tentang konsep nombor, kemahiran asas dalam pengiraan, memahami
idea matematik yang mudah dan berketrampilan mengaplikasikan pengetahuan serta
kemahiran matematik secara berkesan dan bertanggungjawab dalam kehidupan
seharian.
Objektif
KSSR
Kurikulum Standard Sekolah Rendah bagi mata pelajaran
Matematik membolehkan murid :
- Memahami dan mengaplikasi konsep, dan kemahiran matematik dalam pelbagai konteks.
- Memperluaskan penggunaan kemahiran operasi asas tambah, tolak, darab dan bahagi yang berkaitan dengan Nombor dan Operasi, Sukatan dan Geometri, Perkaitan dan Statistik.
- Mengenal pasti dan menggunakan perkaitan dalam idea matematik, di antara bidang matematik dengan bidang lain dan dengan kehidupan harian.
- Berkomunikasi menggunakan idea matematik dengan jelas serta penggunaan simbol dan istilah yang betul.
- Menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik untuk diaplikasi dan membuat penyesuaian kepada pelbagai strategi bagi menyelesaikan masalah.
- Berfikir, menaakul dan membuat penerokaan secara matematik dalam kehidupan harian.
- Menggunakan pelbagai perwakilan untuk menyampaikan idea matematik dan perkaitannya.
- Menghargai dan menghayati keindahan matematik.
- Menggunakan pelbagai peralatan matematik secara efektif termasuk TMK untuk membina kefahaman konsep dan mengaplikasi ilmu.
RUJUKAN
Abdullah Sani. Y. 2003. Perkembangan
Pendidikan di Malaysia. Pahang: PTS Publications &
Distributor
Sdn. Bhd.
Ikhsan, O., & Norila, M.S. 2005. Kurikulum & Pengajaran Sekolah
Rendah, Aspek-aspek
yang
Berkaitan. Tanjong Malim: Quantum Books.
Mok
Soon Sang 2004. A Primary Education
Course in Mathematics for Post Graduate
Diploma. Subang Jaya : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment