Saturday, 31 October 2015

ISU: AKSES DAN EKUITI DALAM PENDIDIKAN



PENGENALAN KEPADA AKSES DAN EKUITI DALAM PENDIDIKAN
            Komitmen kerajaan Malaysia untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia sangat tinggi. Hasilnya, sistem pendidikan mengalami perkembangan pesat sejak 5 dekad yang lalu. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai kejayaan telah berjaya diukir. Pencapaian yang boleh dibanggakan adalah kadar literasi warga dewasa mencapai 92%, kadar enrolmen pendidikan menghampiri enrolmen peringkat universal bagi sekolah rendah (92%), sekolah menengah rendah (85%) dan sekolah menengah atas (78%), dan Malaysia juga telah menang Anugerah Commonwealth bagi Amalan Terbaik Pendidikan.
            Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP). Program ini merupakan usaha kerajaan membawa perubahan dalam sistem penyampaiannya. Sehubungan itu, bidang keberhasilan utama negara (NKRA) Pendidikan telah menjadi salah satu teras dalam GTP yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 28 Januari 2010. Dua fokus utama NKRA Pendidikan adalah memastikan semua kanak-kanak mendapat permulaan pendidikan berkualiti, dan membangunkan budaya pencapaian untuk memacu transformasi dalam sistem pendidikan. Tujuan NKRA Pendidikan diperkenalkan adalah untuk meningkatkan standard pendidikan Malaysia ke peringkat antarabangsa, serta memastikan semua pelajar mendapat akses yang sama kepada pendidikan berkualiti tanpa dipengaruhi oleh pendapatan keluarga.
            Usaha kerajaan Malaysia untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara tidak terbatas kepada pengenalan NKRA Pendidikan semata-mata. Pelbagai langkah lain diambil seperti memperkenalkan PERMATA dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Pelan yang bersifat komprehensif dan demokratik kerana dirangka setelah mengambil pandangan daripada pakar pendidikan di dalam dan di luar negara. Terdapat 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang diingini oleh seluruh rakyat Malaysia. Salah satu anjakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
           
AKSES DAN EKUITI MERUPAKAN ASPIRASI SISTEM PENDIDIKAN MALAYSIA
            Kementerian Pelajaran berhasrat menghasilkan suatu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan. Keberhasilan yang ditetapkan ini adalah selari dengan aspirasi yang turut disuarakan oleh peserta semasa Dialog Nasional dan setanding juga dengan keberhasilan yang ditetapkan oleh sistem pendidikan berprestasi tinggi yang lain. Bagi memenuhi keperluan semua rakyat Malaysia dan menyediakan negara untuk bersaing di peringkat antarabangsa, adalah penting untuk negara melakarkan wawasan kejayaan sistem pendidikan yang ingin dibangunkan, khusus berdasarkan konteks di Malaysia.
            Akses dan ekuiti merupakan dua aspirasi sistem dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Menurut Laporan Awal - Ringkasan Eksekutif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Kementerian Pelajaran Malaysia (2012), menyatakan maksud akses dan ekuiti secara terperinci. Akses adalah setiap kanak-kanak di Malaysia berhak mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Kementerian berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang tahun 2020. Manakala ekuiti adalah sistem pendidikan berprestasi tinggi menyediakan pendidikan berkualiti kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi, jantina atau latar belakang sosioekonomi. Kementerian berhasrat untuk merapatkan lagi jurang pencapaian antara murid bandar dan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara jantina sehingga 50% menjelang 2020.
 
MATLAMAT DAN PENDEKATAN MENYEDIAKAN KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA
            Sejak dahulu lagi, murid di Malaysia berkebolehan menguasai ilmu apabila mereka berupaya menganalisa maklumat, berfikir secara kritis, mengaplikasi ilmu secara kreatif dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah ciri-ciri kemahiran berfikir aras tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di negara-negara maju. Walaubagaimanapun, kemahiran ini kurang kritikal dalam ekonomi yang sentiasa berubah pada masa ini. Sebaliknya, murid perlu ada keupayaan penaakulan, membuat unjuran dan mengaplikasi pengetahuan secara kreatif dalam suasana yang berlainan. Murid juga memerlukan ciri-ciri kepimpinan untuk bersaing di peringkat global. Pentaksiran antarabangsa Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS), dan Programme International Student Assessment (PISA) menunjukkan murid di Malaysia sukar mengaplikasi kemahiran berfikir aras tinggi. Menurut Laporan Awal - Ringkasan Eksekutif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Kementerian Pelajaran Malaysia (2012), kajian tinjauan ke atas syarikat Malaysia dan syarikat antarabangsa juga melaporkan bahawa murid Malaysia gagal menguasai kemahiran insaniah yang diperlukan oleh bakal majikan.
            Selain itu, pendidikan sering dilihat sebagai pengupaya mobaliti sosial. Kanak-kanak yang dilahirkan dalam keluarga miskin berpeluang memperoleh pendapatan yang tinggi apabila dewasa, sekiranya mereka berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Walaubagaimanapun, selagi status sosioekonomi kekal sebagai penentu kejayaan akademik dan merupakan faktor utama yang mewujudkan jurang pencapaian murid, hasrat Kementerian untuk menukarkan mobaliti sosial dalam kalangan murid miskin sukar dicapai.
STRATEGI MENYEDIAKAN KESAMARATAAN AKSES KEPADA PENDIDIKAN BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA
            Strategi pertama adalah dengan menanda aras keupayaan dalam kemahiran membaca, Matematik dan Sains dengan standard antarabangsa. Setiap murid akan dapat menguasai dengan baik kemahiran literasi dan numerasi, iaitu kemahiran asas untuk pembelajaran di masa hadapan. Murid akan diajar mengikut kurikulum yang digubal berdasarkan standard sistem pendidikan yang berprestasi tinggi dan tanda aras ini perlu disahkan oleh badan bebas untuk meyakinkan ibubapa. Kementerian juga akan menetap dan memantau sasaran pencapaian murid dalam pentaksiran antarabangsa PISA dan TIMSS. Pentaksiran tambahan yang menangani dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia boleh dimasukkan apabila diterima di peringkat antarabangsa.
            Selain itu, Kementerian melancarkan Kurikulum Standard Seklah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kurikulum sekolah rendah dan menengah perlu disemak untuk mengimbangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah, dan kepimpinan. Kurikulum ini mempelbagaikan pengajaran, di samping turut memberi lebih penekanan pada penyelesaian masalah, tugasan berasaskan projek, memperkemaskan mata pelajaran atau tema dan melaksanakan pentaksiran formatif. Kurikulum baharu akan menyokong dan mempercepatkan laluan pembelajaran untuk murid yang berprstasi tinggi menamatkan SPM dalam tempoh empat tahun dan bukan lima tahun, dan UPSR diduduki pada Tahun 5.
            Selanjutnya, peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan akan dirombak untuk meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu. Sebagai contoh mnjelang tahun 2016, peperiksaan UPSR akan mengandungi 80 peratus soalan berbentuk pemikiran aras tinggi. Hal ini ditambah lagi dengan tempoh pendidikan wajib juga akan dilanjutkan daripada 6 tahun sekarang kepada 11 tahun, dengan disokong oleh pelbagai inisiatif untuk mengekalkan murid dalam sistem pendidikan, termasuk memperluaskan laluan pendidikan dan latihan teknik dan vokasional. Menjelang tahun 2020, setiap murid akan meninggalkan alam persekolahan dengan kelayakan minimum SPM atau kelayakan vokasional yang setara. Murid akan diberi pilihan mengikuti pelbagai laluan pendidikan berdasarkan minat dan keupayaan mereka.Pilihan ini termasuk aliran teknik dan vokasional yang diperluaskan, yang menawarkan kelayakan diiktiraf industri, dan peluang latihan industri menerusi kerjasama rapat dengan sektor swasta.
            Di samping itu, setiap murid berumur 5 tahun ke atas akan mendaftar di institusi pendidikan prasekolah yang dikendalikan oleh pihak awam dan swasta. Keluarga yang berpendapatan rendah dan tidak mampu mendaftar anak mereka ke prasekolah akan diberikn bantuan kewangan berdasarkan keperluan oleh Kementerian. Institusi prasekolah ini akan diperiksa secara tetap oleh Kementerian atau Majlis Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-kanak Malaysia bagi memastikan standard minimum dicapai. Murid yang mempunyai risiko tercicir akan dibantu menerusi pelbagai inisiatif bagi mengekalkan mereka dalam sistem pendidikan, merangkumi bimbingan pemulihan kaunseling untuk ibu bapa dan murid dan pelbagai inisiatif lain.
            Seterusnya untuk menjamin akses pendidikan berkualiti dan bertaraf antarabangsa kepada semua murid, kerajaan akan meningkatkan pelaburan bagi sumber fizikal dan pengajaran kepada murid dengan keperluan khusus. Murid orang Asli dan kumpulan minority, dan murid kurang upaya fizika dan pembelajaran akan menerima bantuan tambahan supaya mereka juga menikmati peluang yang sama seperti murid lain. Menjelang tahun 2025, mereka akan memasuki sekolah yang mempunyai kemudahan dan peralatan lengkap bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan membantu. Mereka akan diajar oleh guru yang telah diberi latihan khas untuk memahami keperluan dan cabaran khusus murid, dan strategi pengajaran yang diperlukan, untuk mengajar murid yang mempunyai keperluan khusus. Jika perlu, murid ini juga akan diberikan sokongan melalui perluasan jaringan dengan kaunselor, ahli terapi dan pembantu guru.

KESIMPULAN
            Dalam meluaskan akses, peluang dan laluan ke pendidikan perlu disertai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira jantina, umur, etnik, bagi golongan miskin di bandar dan luar bandar, orang Asli dan orang kurang upaya (OKU). Individu boleh mengikuti pendidikan pada setiap peringkat daripada prasekolah sehingga ke peringkat menengah atas mengikut kelayakan dan minat masing-masing melalui pelbagai mod pembelajaran. Ekuiti boleh ditingkatkan melalui meritrokasi kepelbagaian dan agihan bantuan kewangan yang seimbang untuk semua pelajar supaya mereka tidak tersisih dari arus perdana pendidikan.


RUJUKAN

Laporan Awal - Ringkasan Eksekutif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. (2012) Kementerian Pelajaran Malaysia

http://smkaspc.blogspot.my/2014/07/pelan-pembangunan-pendidikan-malaysia.html

http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120913/re_01/Menganjakpendidikan-negara
(13/09/2012)









No comments:

Post a Comment